Kerajaan tentera Myanmar yang baharu dilaporkan memerintahkan syarikat telekomunikasi tempatan untuk menyekat aplikasi Facebook buat sementara iaitu sehingga 7 Februari ini.
Perintah itu dilakukan beberapa hari selepas pihak tentera merampas kuasa kerajaan di negara itu.
Menurut Techcrunch, beberapa pengguna di subreddit Myanmar melaporkan Facebook sudah tidak dapat diakses di telefon mereka, ini menunjukkan bahawa penyedia perkhidmatan internet sudah mula mematuhi arahan junta tentera itu.
Kenyataan yang dikongsikan dalam talian oleh Kementerian Komunikasi dan Maklumat semalam mengatakan Facebook akan disekat sehingga 7 Februari demi ‘kestabilan’, lapor Reuters.
Kumpulan pemantau rangkaian NetBlocks pula mengesahkan MPT telekomunikasi milik kerajaan yang mempunyai 23 juta pengguna telah menyekat Facebook dan perkhidmatan Messenger, Instagram dan WhatsApp.
“Kami mendesak pihak berkuasa untuk memulihkan sambungan supaya orang di Myanmar dapat berkomunikasi dengan keluarga dan rakan mereka serta dapat mengakses maklumat yang penting,” kata jurucakap Facebook, Andy Stone.
Selasa lalu, tentera juga dikatakan telah memberi amaran terhadap sebarang penyebaran ‘khabar angin’ di media sosial yang boleh mencetuskan rusuhan dan menyebabkan ketidakstabilan.
Sumber: Techcrunch, Reuters