Gambar Hiasan Via ABC

Tentera Chile Sahkan 36 Dijangkiti COVID-19 Di Pangkalan Antartika

Sofea

SANTIAGO, 23 Dis (Bernama) — Tentera Chile mengesahkan 26 anggota dan 10 orang awam yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah pangkalan di Antartika disahkan positif COVID-19, lapor Agensi Berita Xinhua.

Memetik media tempatan pada Isnin, tentera dalam satu kenyataan mengumumkan beberapa hari kebelakangan ini “petugas di Pangkalan Antartika Bernardo O’Higgins Riquelme telah menunjukkan gejala berkaitan COVID-19.”

Jangkitan terhadap 36 individu itu disahkan melalui ujian PCR. Seramai 26 daripadanya ialah anggota tentera dan 10 yang lain pekerja syarikat kontraktor yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di kem tersebut.

Tentera menjelaskan mereka yang terbabit tetapi tidak bergejala kini dikuarantin dan dipantau serta dibantu pihak berkuasa kesihatan Magallanes dan Wilayah Antartika Chile, rantau paling selatan yang mencatatkan kes tertinggi COVID-19 berasaskan kadar purata bagi setiap 100,000 penduduk.

Pangkalan itu menjadi stesen penyelidikan saintifik yang dirasmikan pada 1948 dan diuruskan tentera Chile menerusi operasi berterusan sehingga kini.

Sumber: BERNAMA