Tengku Zafrul Akan Terus Bantu PMX & Kerajaan Di Masa Akan Datang – Fahmi Fadzil
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka akan diberikan tanggungjawab atau peranan baru untuk membantu kerajaan selepas menamatkan perkhidmatan selaku Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil, ia selepas mengambil kira sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh Tengku Zafrul sepanjang mengemudi kementerian berkenaan.
“Tengku Zafrul akan terus membantu Perdana Menteri dan kerajaan, mungkin dalam bentuk kedudukan atau jawatan yang berbeza di masa depan.
“Tetapi, apa jawatan atau kedudukan itu belum dinyatakan lagi, jadi kita kena tunggu bila tiba masanya,” kata beliau dalam sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi, hari ini.
Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini merupakan yang terakhir disertai oleh Tengku Zafrul selaku Menteri MITI.
“Jemaah Menteri telah merakam ucapan jutaan terima kasih kepada Tengku Zafrul dan Perdana Menteri (juga) mengucapkan terima kasih di atas khidmat bakti dan kejayaan beliau.
“Ini termasuk dari segi pelaburan, rundingan pelaburan yang banyak telah berjaya,” kata Fahmi lagi.
Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan tugasnya selaku Menteri MITI berakhir pada 2 Disember ini, selepas penggal kedua pelantikannya selaku Senator tamat.
Sumber: YAB Fahmi Fadzil