
Tengku Permaisuri Turun Padang, Jual Koleksi Peribadi Dari RM5 Di “Car Boot Sale”
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, berkenan berangkat ke tapak penganjuran Car Boot Sale (CBS) Kota Damansara sempena program Ekonomi Lestari, semalam.
Ketibaan Baginda disambut oleh Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhammad dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon.
Baginda meluangkan kira-kira 30 minit melawat tapak jualan barangan terpakai, sambil membeli-belah dan beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung.
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan melawat Galeri DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Kaunter PJ Eco Plaza dan Pameran Anugerah MBPJ.
Selain itu, Baginda juga mengunjungi reruai perkhidmatan yang disediakan khas sempena program Ekonomi Lestari @ CBS Kota Damansara.

Istimewanya, majlis bertambah meriah apabila Baginda turut menyertai jualan barangan terpakai yang menghimpunkan koleksi pakaian terpakai Baginda, dijual pada harga bermula RM5.
Sementara itu, Mohamad Zahri menyasarkan agar program Ekonomi Lestari @ CBS Kota Damansara dapat dijadikan acara tahunan dengan pengisian yang lebih pelbagai bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Menurut beliau, penganjuran edisi kedua program itu merupakan inisiatif pulangan kepada masyarakat melalui sebahagian hasil kutipan caj beg plastik yang dikenakan kepada pembeli.
“Di sini sudah ada ramai pengunjung terutamanya kerana ada CBS. Tambahan hari ini pula apabila ada Tengku Permaisuri Selangor turut sertai jualan barangan terpakai, lebih ramai yang datang.
“Kita cadang mahu buat secara tahunan, tetapi dari segi pengisian. Kita mahu libatkan semua pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak lain,” katanya seperti dilapor Media Selangor.
Untuk info, CBS Kota Damansara mula beroperasi pada 2017 dengan 250 petak jualan, sebelum meningkat kepada 459 petak pada 2022 berikutan permintaan tinggi dalam kalangan peniaga.
Sumber: Media Selangor