KOTA BHARU, 23 Jun (Bernama) — Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan mengurniakan lima peti simpanan vaksin COVID-19 bernilai RM84,000 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
Majlis penyerahan kurniaan tersebut disempurnakan oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar kepada Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin di Istana Balai Besar, di sini hari ini.
Tengku Azmi berkata sumbangan peti simpanan itu diharapkan dapat membantu JKNK untuk menyimpan bekalan vaksin dalam kuantiti besar.
“Peti simpanan vaksin COVID-19 ini mampu memuatkan 5,850 dos vaksin Pfizer-BioNTech dan 8,000 dos vaksin Sinovac.
“Peti ini akan ditempatkan di Klinik Kesihatan Perol, Klinik Kesihatan Wakaf Bharu, Klinik Kesihatan Kuala Balah, Klinik Kesihatan Cherang Ruku dan Klinik Kesihatan Kuala Krai,” katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.
Sementara itu, Dr Zaini berkata kurniaan itu jelas membuktikan keprihatinan Tengku Mahkota Kelantan berkaitan dengan kesihatan rakyat negeri ini khususnya dalam tempoh pandemik COVID-19.
Menurut beliau bilangan peti penyimpanan vaksin yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung bekalan vaksin dalam kuantiti banyak yang akan diterima pada bulan depan.
“Apabila kita sembah maklum kepada Tengku Mahkota Kelantan bahawa keperluan kita untuk menambah bilangan peti penyimpanan vaksin, dalam masa yang singkat sahaja Tengku Mahkota Kelantan telah perkenan dengan pengurniaan tersebut,” katanya.
Minggu lepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengumumkan kerajaan persekutuan akan memberikan 550,000 dos lagi bekalan vaksin kepada Kelantan pada Julai ini, sekali gus membolehkan negeri itu meningkatkan kadar suntikan hingga mencapai 30,000 dos sehari atau sekurang-kurangnya 20,000 dos sehari.
Sumber: BERNAMA