Pernahkah anda terfikir berkenaan apa sebenarnya yang terdapat dan tersembunyi di dalam dinding rumah anda?
Sebuah keluarga baru-baru ini terkejut apabila menemui bahawa satu lubang di dinding bilik mandi mereka yang tidak pernah mereka tahu, namun telah dikatakan wujud selama sekitar 40 tahun.

Lebih pelik lagi adalah lubang tersebut telah dipenuhi dengan sejumlah barangan yang banyak.
Kisah pelik itu telah dikongsi di laman media sosial oleh pengguna yang bernama Kludge77, atau nama sebenarnya Peter Brown.
Menurutnya, lubang itu terdapat di bilik mandi rumah mertuanya dan mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan oleh isterinya.
Lubang tersebut ditemui terletak di bahagian belakang kabinet ubat di rumah keluarga itu. Menurut Mirror, kabinet ubat itu juga turut mempunyai lubang di bahagian belakangnya.
Mereka kemudiannya menyedari bahawa ubat-ubatan yang terdapat pada kabinet itu telah jatuh dan memasuki dinding tersebut selama ini.
Sejurus selepas itu, mereka telah menjalankan operasi pengumpulan ‘harta karun’ yang berupa barangan berusia sekitar 40 tahun. Antara barangan yang ditemui adalah losyen badan yang dipercayai daripada tahun 1980-an, ketika pasangan itu pertama kali berpindah ke rumah tersebut.
Plaster, penanggal warna kuku, semburan antiseptik serta pil turut ditemui di dalam lubang itu. Turut ditemui juga barang-barang yang telah terjatuh dari kabinet tersebut yang mungkin baru dibeli oleh ahli rumah tersebut.

Perkongsian Brown mengenai penemuan tersebut telah menjadi tular, sehingga berjaya meraih lebih dari 127,000 tontonan dan ribuan undi, lapor Mirror.
“Saya sudah dapat jangka bahawa pengikut saya pasti akan tertarik dengan gambar-gambar itu, kerana ianya adalah suatu perkara yang agak aneh,” katanya kepada portal Bored Panda.
Dia turut menjelaskan bahawa bapa mertuanya telah kehilangan barang sewaktu perintah berkurung dan perkara itulah yang mendorongnya untuk melakukan penyiasatan dengan lebih lanjut.
Disebabkan itu, dia telah terdetik untuk membuka lubang yang terdapat di dinding itu dengan lebih besar untuk melihat apa yang ada di dalamnya dengan jangkaan bahawa hanya ada satu atau dua barang sahaja, namun terkejut sebaik mendapati terdapat banyak barang yang tersorok di dalamnya.
Sumber: Mirror