Tempoh Berkhidmat Melebihi Had, Mahkamah Gantung Tugas PM Thailand
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha telah diarah berundur daripada tugasnya oleh Mahkamah Perlembagaan selepas dia didakwa telah berkhidmat melebihi had penggal yang telah ditetapkan.
Menurut Thai Examiner, Mahkamah Perlembagaan Thailand telah melakukan undian dan majoritinya bersetuju untuk mendengar petisyen bagi menyemak semakan had penggal.
Keadaan ini menjadikan Prayut digantung daripada menjalankan tugas rasminya.
Mahkamah memberi maklum balas mengenai petisyen itu selepas ia dikemukakan melalui parlimen oleh pembangkang di bawah Seksyen 82 Perlembagaan yang mempersoalkan status Prayut sebagai Perdana Menteri.
Peruntukan yang telah ditetapkan di dalam perlembagaan pada 2017 memperlihatkan seseorang Perdana Menteri dilarang berkhidmat lebih daripada lapan tahun secara keseluruhan.
Prayut telah memegang tampuk pemerintahan pada 24 Ogos 2014 berikutan rampasan kuasa yang dipimpinnya pada 22 Mei 2014 yang telah menggulingkan ‘saki-baki’ kerajaan Yingluck Shinawatra.
Tidak dapat dipastikan berapa lama mahkamah akan membuat keputusan tetapi memandangkan ia perkara yang mustahak, kebanyakan pemerhati tidak menjangkakan kelewatan yang tidak wajar.
Susulan penggantungan ini juga, Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan akan menggantikan Prayut buat sementara.
Sumber: Thai Examiner
Baca: “Dia Biar Je Susu Anak Tumpah, Kalau Aku Tak Lap, Sampai Ke Esok Lah Kering & Masam Di Situ..”