nasa lohong hitam
Kredit: NASA

Teleskop NASA Temui Lohong Hitam

Nurhanis

Teleskop NASA Temui Lohong Hitam

Ahli astronomi mengesahkan satu lohong hitam paling jauh pernah dikesan dalam sinar-X menggunakan teleskop Chandra dan Webb dilaporkan sudah ditemui, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA).

Lapor NASA, difahamkan lohong hitam yang ditemui itu masih berada pada peringkat awal pertumbuhan yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Dengan menggabungkan data dari Balai Cerap X-ray Chandra NASA dan Teleskop Angkasa James Webb NASA, sepasukan penyelidik dapat mencari tanda-tanda lohong hitam yang semakin meningkat atau membesar 470 juta tahun selepas letupan besar (big bang).

Keputusan tersebut menjelaskan bagaimana beberapa lohong hitam supermasif pertama di alam semesta terbentuk.

Menurut Akos Bogdan dari Pusat Astrofizik, Harvard & Smithsonian (CFA) yang mengetuai jurnal Nature Astronomy, ahli astronomi memerlukan teleskop Webb untuk mencari galaksi tersebut.

Manakala, teleskop Chandra pula digunakan untuk mencari lubang hitam supermasifnya.

“Kami juga mengambil kesempatan (menggunakan) kaca pembesar kosmik yang (membantu) meningkatkan jumlah cahaya yang kami kesan,” katanya.

Bogdan dan pasukannya menemui lohong hitam dalam galaksi bernama UHZ1 ke arah gugusan galaksi Abell 2744, yang terletak 3.5 bilion tahun cahaya dari Bumi.

Bagaimanapun, data yang dikumpul oleh teleskop Webb menunjukkan bahawa galaksi UHZ1 sebenarnya lebih jauh daripada gugusan, iaitu 13.2 bilion tahun cahaya dari Bumi.

Kemudian, selepas menjalankan pemerhatian selama dua minggu menggunakan teleskop Chandra, astronomi mendapati gas pemancar sinar-X mula hadir dalam galaksi tersebut.

Kehadiran gas itu menunjukkan bahawa lohong hitam supermasif semakin meningkat atau membesar.

BACA: NASA Lancar Misi Ke Asteroid Paling Berharga, Dijangka Tiba 2029

Pengesanan tersebut kemungkinan dikesan atas campur tangan jirim dalam Abell 2744, yang membantu memperhebatkan cahaya dari galaksi dan sinar-X dengan kira-kira empat faktor.

Pasukan Bogdan telah menemui bukti kukuh bahawa lohong hitam yang baru ditemui itu dilahirkan secara besar-besaran.

Jisimnya dianggarkan jatuh antara 10 dan 100 juta Matahari, berdasarkan kecerahan dan tenaga sinar-X.

“Terdapat had fizikal tentang seberapa cepat lubang hitam boleh tumbuh sebaik sahaja ia terbentuk, tetapi lubang hitam yang dilahirkan lebih, menunjukkan sebagai permulaan.

“Ia seperti menanam anak pokok, yang mengambil sedikit masa untuk membesar menjadi pokok bersaiz penuh berbanding jika anda bermula dengan hanya sebiji benih”, kata Andy Goulding dari Universiti Princeton.

Sumber: NASA