Telan Hampir RM300k Tapi Hasil Memukau, Wanita Kongsi Kisah Berjaya Bina ‘Tiny-House’ Dalam Hutan
Atiqah Nadiah Zailana, seorang mahasiswa dan merupakan graduan Standford telah berjaya membina rumah berkonsepkan ‘tiny-house‘ yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM300,000.
Memetik Insider, Atiqah dibesarkan di sebuah apartmen yang terletak di ibu kota Kuala Lumpur. Meskipun dari kecil sudah terbiasa menetap dan melihat bangunan pencakar langit, akan tetapi, dia mendapati dirinya lebih meminati dan mengimpikan gaya kehidupan yang berbeza.
Atiqah berkata dia membina rumah tersebut kerana mendapat inspirasi daripada budaya perkhemahan Barat dan gerakan rumah kecil.
Namun, di Malaysia, membina rumah kecil bukanlah suatu perkara yang mudah.
“Ia bukanlah konsep yang popular,” kata Atiqah, yang lulus dengan ijazah sarjana muda dan sarjana dari Universiti Stanford pada 2009.
Pada Julai 2016, Atiqah telah membeli tanah seluas 43,000 kaki persegi di pinggir bandar Kuala Lumpur.
Pada September 2017 pula, dia telah mengumpulkan sebilangan besar rakannya dan mula membina rumah itu.
Dengan bajet sebanyak RM300,000, Atiqah memutuskan untuk membina sebuah rumah kecil gaya loteng seluas 530 kaki persegi (49 meter persegi) dilengkapi balkoni.
Sejak awal lagi, Atiqah telah berdepan dengan pelbagai rintangan termasuk kekangan masa dan kekurangan pengalaman dalam sektor pembinaan.

Selain itu, disebabkan Atiqah berkhidmat sebagai penasihat kepada kerajaan, dia perlu travel keluar dan masuk negara ini.
Disebabkan kekangan itu, dia hanya memiliki tiga minggu untuk membina rumah kecil tersebut di samping menyelesaikan kerjanya.
Apa yang lebih merunsingkan dia, pergerakan rumah kecil di Malaysia ini tidak banyak mendapat sambutan.
“Di Amerika, segala alatan mudah untuk diakses. Sekiranya pergi ke Home Depot, pasti akan ada.
“Namun di Malaysia, pasaran keperluan rumah dengan harga berpatutan tidak mencukupi. Oleh itu, saya perlu bekerja dengan lebih keras untuk mendapatkan produk yang lebih sesuai,” katanya.
Dia turut meluahkan keberuntungannya kerana menjumpai Epic Home yang merupakan sebuah organisasi melatih orang ramai tentang cara membina rumah di Malaysia.

Pembinaan dimulakan dengan pemasangan cerucuk untuk mengukuhkan struktur tanah di hutan.
Masa yang diambil tidak terlalu lama kerana ia menggunakan tenaga kerja daripada dua kumpulan sukarelawan.
Oleh disebabkan rumah yang dibina terletak di atas bukit, pengangkutan bahan agak sukar dan struktur pembinaan agak bahaya memandangkan ingin membina perancah setinggi tiga tingkat.
“Saya menonton lebih sejuta video rumah kecil orang lain di Youtube dan sebenarnya bentuk dan saiz rumah itu bergantung dengan komposisi tanah yang digunakan.
“Kami membinanya di atas bukit yang agak cerun dan disebabkan itu, kami memerlukan lebih banyak struktur dan asas yang kukuh untuk memastikan keselamatannya terjamin.”
Atiqah memanggil lebih ramai sukarelawan iaitu sekitar 30 orang untuk mengukuhkan struktur, yang merupakan campuran rasuk keluli dan kayu.
Atiqah berkata bahan itu sangat mahal. Ia berharga RM16,800 dan RM15,300.

Bahan-bahan itu akan digergaji dan dinaikkan dengan tangga untuk membentuk kulit luar rumah. Rasuk dipasang dalam masa kurang dari sehari.
“Saya rasa anda hanya akan tahu betapa sukarnya kerja pembinaan apabila anda benar-benar melakukannya,” kata Atiqah.

Atiqah juga mengupah tukang bina profesional untuk memasang alang bumbung.
Yuran profesional, termasuk reka bentuk, pembinaan, dan pengurusan projek itu, berjumlah sehingga RM18,800.

Panel dinding telah siap dipasang pada hari berikutnya.
Panel dinding diperbuat daripada keluli dan kayu tetapi setiap bahan mempunyai cabarannya tersendiri.
Contohnya, papan kayu mudah pecah apabila dipotong, dan bilah pemotong hampir tidak berfungsi untuk memotong keluli.
Papan lantai telah dipegang dan dipaku bersama-sama dengan bantuan profesional.

Sukarelawan membantunya menyusun hujung gable rumah.
Bumbung yang landai membuatkan kerja pemasangan pada hujung gable menjadi rumit.
“Ini kali pertama saya menyusun barang yang lebih besar daripada kotak kecil. Saya rasa semuanya baharu dan mencabar untuk saya.”
Selepas Atiqah dan pasukannya memasang bingkai tingkap, longkang, mengukuhkan dinding, dan membersihkan beranda, dia berasa lega kerana sebahagian besar kerja pembinaan telah siap.

Atiqah berkata pemasangan panel solar adalah sangat mudah.
“Ia hanya soal menjana kuasa apabila matahari terbenam, dan menyimpannya untuk kegunaan waktu malam,” katanya.
“Cabarannya adalah dalam mencari bateri yang benar-benar baik. Saya terpaksa menggunakan bateri kikuk yang serupa dengan bateri kereta.”

Atiqah juga melengkapkan rumah itu dengan sistem tadahan air hujan di luar grid.
Sistem untuk memasang sistem tadahan air juga mudah, dan hanya terdiri daripada lima bahagian iaitu longkang, tangki air, pam air, penapisan dan paip.
“Bahagian untuk penuaian air hujan sebenarnya tidak terdapat di Malaysia,” katanya.
“Saya terpaksa melakukan banyak penyelidikan untuk mencarinya. Kos pemasangannya juga tidaklah terlalu mahal.”

Salah satu ciri khas rumah kecil itu adalah memiliki tingkap kaca yang tinggi.
Tingkap kaca itu menelan kos sejumlah RM13,200.
“Di situlah saya terpaksa berbelanja besar. Saya tetap mahu mendapatkan tingkap kaca yang panjangnya dari lantai ke siling kerana saya amat sukakannya, tetapi bagi orang lain, boleh sahaja menutupnya dengan konkrit.”

Bahagian rumah kegemarannya ialah balkoni kerana dapat melihat pemandangan hutan Malaysia.
Atiqah berkata, cuaca tropika menyebabkan dia tiada pilihan selain membina rumah menghadap ke selatan.
Hal ini bagi mengelak daripada menghadap cahaya matahari secara terus.
Tetapi keputusan itu datang dengan beberapa faedah yang tidak dijangka.
“Pemandangannya menakjubkan kerana agak jauh dari kawasan lain. Kami juga dapat melihat bintang di waktu malam yang amat cantik. Justeru, saya dan rakan-rakan akan menghabiskan masa duduk di balkoni dan mengagumi bintang”

Atiqah sedang berusaha untuk memenuhi segala kelengkapan dan peralatan rumah sepenuhnya.
Memandangkan dia sering melancong, Atiqah berkata untuk mereka bentuk dan menghias dalaman rumah akan mengambil masa.
“Saya sedang mencari tandas kompos kerana saya mahukan tandas yang kelihatan mewah. Untuk dapatkannya, saya perlu membelinya dari luar negara,” katanya.
Dia juga mengupah agensi profesional untuk membaiki paip rumah, pendawaian elektrik dan kawalan perosak.

Atiqah berkata walaupun rumah kecil masih belum menjadi arus perdana di Malaysia, namun beberapa penduduk tempatan telah menghubunginya dengan harapan untuk membina rumah kecil mereka sendiri.
Walaupun laporan berita tentang pemilik rumah kecil di Malaysia telah muncul sejak beberapa tahun lalu, Atiqah berkata bilangan mereka sangat sedikit.

Atiqah berkata rumah itu masih mempunyai beberapa kekurangan kerana kurangnya pengalaman dalam ilmu pembinaan rumah berkonsepkan tiny house. Namun, segalanya berbaloi untuknya.
“Saya mahu libatkan diri saya dan rakan-rakan dalam pembinaan rumah. Jadi saya akan tahu siapa yang bina tembok itu. Meskipun agak senget, tapi tetap kelihatan hebat.”
Sumber: Insider
Baca: Sambil Beli Buku Pun Boleh Bersedekah, Ini Cara Nak Beli Buku Dengan Rebat 10%