Gambar: Bernama

Tekong Bot Pancing Meninggal Dunia Selepas Pengsan Ketika Memancing

Aqmal Ezany

JOHOR BAHRU, 7 Mac (Bernama) — Seorang tekong bot pancing meninggal dunia selepas pengsan ketika memancing bersama seorang rakannya berhampiran Jeti Jabatan Laut Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata Borhan Muhamed, 61, dikatakan baru sahaja keluar dari Jeti Simpang Kiri, Sungai Karang, dekat Pontian, sebelum pengsan semasa hendak memotong jaring yang tersangkut pada enjin bot.

“Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pada 9.40 malam daripada rakan Borhan yang memaklumkan tekong itu pengsan, selain memohon bantuan menyelamat kerana tidak mahir mengemudi enjin bot tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata sejurus selepas itu, Bot Kilat 12 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) digerakkan ke lokasi kejadian manakala MRSC menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi bantuan ambulans dan pegawai perubatan.

Katanya Bot Kilat 12 kemudian membawa Borhan ke Jeti Jabatan Laut Sungai Pulai untuk diserahkan kepada pegawai perubatan, sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.05 malam, dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Sehubungan itu, Nurul Hizam meminta orang ramai khususnya komuniti maritim supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404 atau talian kecemasan MERS 999 sekiranya berlaku kecemasan atau jenayah di perairan negeri.

Sumber: BERNAMA