KANGAR, 4 Sept – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Perlis menafikan tohmahan pemilik akaun Facebook yang mendakwa bot mereka mengasari bot nelayan Thailand dalam satu kejadian awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, bot terbabit yang menceroboh perairan Perlis di kedudukan 4.7 batu nautika dari timur Tanjung Dendang itu disyaki membawa barang terlarang.
“Ketika bot APMM menghampiri untuk tujuan pemeriksaan, tekong bot enggan mengikut arahan sebaliknya bertindak agresif dengan memecut laju bagi melepaskan diri daripada diperiksa, tetapi dalam keadaan laut yang bergelora bot itu hilang kawalan dan mengakibatkan ianya terbalik.
“Anggota penguatkuasa bot Maritim Malaysia telah melakukan tindakan menyelamat kedua-dua nelayan yang mana seorang awak-awak berjaya diselamatkan tetapi tekong bot enggan menyerah diri, sebaliknya bertindak menyembunyikan diri di bawah bot yang terbalik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Gambar: APMMDifahamkan, dalam keadaan laut bergelora, usaha memujuk dan menyelamat tekong berkenaan diteruskan selama hampir lima (5) jam sehingga sebuah lagi bot APMM tiba di lokasi untuk membantu membalikkan semula bot itu.
Bagaimanapun, jelas Mohd Shafie, tekong tersebut didapati tiada di perut bot dan tidak dapat dikesan di kawasan sekitarnya.
“Maritim Malaysia dan pihak berkuasa Thailand bersetuju untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat tekong tersebut di perairan masing-masing.
“Kedua-dua pihak juga mencapai kata sepakat agar bot dan awak-awak terbabit diserahkan kepada pihak Thailand serta tidak akan menuntut atau membangkitkan sebarang isu berkaitan insiden ini,” tambah kenyataan itu lagi.
Gambar: APMMSumber: APMM