Kredit AP

Taufan Talas Landa Jepun, Dua Terbunuh Dilaporkan Setakat Ini

Syed Faisal Sayed Muhammad

Dua orang terbunuh Taufan Talas landa Jepun

Sekurang-kurangnya dua dilaporkan maut dan ratusan ribu rumah terputus bekalan elektrik selepas Taufan Talas yang turut membawa hujan lebat dan angin kencang dilapor melanda tengah Jepun hari ini.

Seorang lelaki berusia 40-an maut dalam kejadian tanah runtuh dan seorang lagi lelaki berusia 29 tahun ditemui mati selepas keretanya ditemui terjunam ke dalam takungan.

Bekalan elektrik juga terputus kepada kira-kira 120,000 isi rumah, kata pembekal Chubu Electric Power Grid, sambil menambah bahawa tanah runtuh menjadi punca utama yang menyebabkan dua tiang elektrik terhempas.

Bandar Shizuoka, barat daya ibu kota Tokyo, antara kawasan yang paling teruk terjejas sejak hujan bermula pada Khamis lalu, merekodkan bacaan hujan 47mm, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Angin di tengah Taufan Talas bertiup pada kelajauan kira-kira 65kmj dengan tiupan pada kemuncak kira-kira 90kmj.

“Kami sangat-sangat memohon maaf diatas kesulitan yang berlaku disebabkan oleh masalah gangguan bekalan ekektrik ini.

”Gangguan itu berpanjangan disebabkan oleh kesan tanah runtuh, antara faktor lain, tetapi kami akan lakukan semua yang kami mampu untuk memperbaikinya secepat mungkin,” kata syarikat itu di Twitter.

Central JR memulakan semula beberapa perkhidmatan kereta api pelurunya, setelah perkhidmatannya dihentikan dari petang Jumaat kerana hujan lebat.

Walaupun JMA menurunkan tahap taufan itu kepada taufan ekstratropika pada pagi Sabtu, namun ia telah meramalkan hujan lebat selanjutnya di Shizuoka dan menggesa agar rakyat berhati-hati terhadap tanah runtuh dan banjir.

Bandar Yokohama, kira-kira 30 kilometer ke selatan Tokyo turut mengeluarkan isyarat pemindahan pada kira-kira tengah hari Sabtu kepada 3,000 penduduknya.

Terdahulu Taufan Nanmadol, salah satu ribut terbesar yang melanda Jepun telah mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan membawa angin ganas dan mencatatkan hujan ke barat negara itu pada Isnin.

Sumber: CNA