
Taufan Ragasa Landa Utara Filipina, Puluhan Ribu Mangsa Dipindahkan
MANILA — Taufan terkuat tahun ini, taufan Ragasa dilaporkan melanda utara Filipina pada Isnin, yang membawa angin kencang, hujan lebat, lapor CNN News.
Menurut agensi meteorologi Filipina (PAGASA), taufan tersebut membadai Pulau Panuitan di wilayah Cagayan dengan kelajuan angin berterusan melebihi 267 kilometer sejam, bersamaan taufan Kategori 5.
Pihaknya turut mengeluarkan amaran berkemungkinan angin lebih kencang di kawasan pantai dan tanah tinggi, manakala kawasan terlindung dijangka kurang menerima impak.
“Kelajuan angin mungkin akan lebih kuat di kawasan terdedah seperti di kawasan pantai dan kawasan tanah tinggi,” maklum PAGASA.
Lebih 10,000 Orang Dipindahkan
Taufan berkenaan memaksa lebih 10,000 orang telah dipindahkan di seluruh Luzon utara dan tengah terpaksa dipindahkan ke lokasi selamat.
Difahamkan, laluan ribut berkenaan mengakibatkan hujan lebat, tiupan angin melebihi 315 kilometer sejam serta risiko banjir dan tanah runtuh di utara Luzon, dengan jumlah hujan melebihi 400 milimeter (mm) di beberapa lokasi.
Situasi itu turut menjejaskan sesi persekolahan di Metro Manila termasuk 29 wilayah di Luzon yang terpaksa dihentikan.
Rakaman di Pulau Camiguin menunjukkan angin kencang dan air laut setinggi lebih 3 meter serta angin kuat mengakibatkan beberapa kejadian pokok tumbang.
Sementara itu, beberapa bandar utama Hong Kong, Macau dan wilayah Guangdong di tanah besar China kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan taufan berkenaan dijangka bergerak ke arah berkenaan dengan kelajuan kira-kira 23 kilometer sejam. Ia dijangka tiba di Hong Kong pada Rabu.
Pada 2024, negara itu dilanda empat taufan dalam tempoh kurang dua minggu, mengakibatkan kerosakan besar akibat hujan lebat, ombak besar dan tanah runtuh
Sumber: CNN News