Tapak Pelupusan Sampah Di Pulau Burung Terbakar

Edayu

NIBONG TEBAL, 12 Jan – Tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung di sini terbakar membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.12 petang dan jentera pertama yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati api marak dengan asap tebal.

“Pihak bomba terus menjalankan operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah itu dengan tindakan awal membuat penyekat kebakaran menggunakan jengkaut bagi mengelakkan api terus merebak ke kawasan yang lebih luas lagi.

“Setakat 7.30 malam, pihak bomba masih berusaha memadamkan kebakaran dengan pengawalan api dan menggunakan sumber air dari jentera dan tangki,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, kawasan seluas 8,361 meter persegi daripada 10 hektar (40,468 meter persegi) tapak pelupusan sampah itu telah terbakar.

Katanya operasi memadam kebakaran membabitkan lebih 50 pegawai dan anggota bomba dari Nibong Tebal, Sungai Bakap dan Bayan Baru yang turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela.

— BERNAMA