Tanah Runtuh: Mayat Ke-26 Ditemui Tertimbus Berpelukan Bersama Anjing Peliharaan
Mayat mangsa lelaki dewasa tragedi tanah runtuh Batang Kali yang ke-26 telah ditemui dalam keadaan sedang berpelukan dengan seekor anjing peliharaannya, lapor Astro Awani.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata mayat mangsa ditemui berada di sektor B bersama dengan seekor anjing yang telah mati.
Operasi mencari di sekitar kawasan tersebut juga turut menemui bangkai seekor lagi anjing yang dipercayai milik mangsa.
“Kita telah jumpa satu mayat di Sektor B, jadi mayat ini kita kenal pasti sebagai satu lelaki dewasa, namun umur tak boleh dianggarkan lagi.
“Setakat ini, mayat telah dibawa keluar dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Ni Kena Teliti Betul-Betul Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal
“Untuk makluman, bersama dengan mayat ada dua ekor anjing, telah dikeluarkan juga oleh anggota penyelamat dan diserahkan anjing tersebut kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” kata Suffian dalam sidang media di lokasi kejadian pada sebentar tadi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata beliau percaya dengan penemuan terbaru itu akan membawa kepada penemuan mangsa yang masih hilang.
“Semakin lama semakin baik, Alhamdulilah yang kita jumpa bukan di Sektor C, tapi di sektor B, kita letakkan satu jengkaut tanah.
“Hari ini kita jumpa dia (mayat mangsa) berpelukan dengan sekor anjing, dan seekor lagi di kawasan sekitar,” kata Hafisham yang mempercayai bahawa mangsa membawa tiga ekor anjing peliharaan ke tapak tragedi tersebut.
Menurut beliau lagi, siasatan awal mendapati mangsa sebenarnya berkhemah di sektor A yang dinamakan sebagai Hillview. Namun mangsa dipercayai berada di lokasi B berikutan dibawa arus tanah runtuh berkenaan.
“Kemungkinan besar dia berkhemah di sektor A tapi dibawa arus ke sektor B.
“Maknanya sektor B dipercayai semua mangsa dah tiada di situ jadi kita tumpu di C dan A,” katanya lagi.
Sumber: Astro Awani