SERDANG, 26 Jan — Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak malam tadi mula memasang cerucuk besi di tebing longkang besar berhampiran lokasi kejadian tanah mendap di Jalan LP 1A/2, di sini, semalam.
Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata pemasangan cerucuk besi oleh kontraktor yang dilantik MBSJ itu, adalah sebagai langkah keselamatan berikutan hasil pemantauan Jabatan Kejuruteraan MBSJ masih berlaku pergerakan tanah di lokasi berkenaaan.
Johary berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama MBSJ bagi memutuskan langkah penyelesaian jangka masa panjang berhubung kejadian tanah mendap itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang ACP A A. Anbalagan berkata 26 pemilik premis peniagaan di kawasan berhampiran diarah menghentikan sementara perniagaan sebagai langkah keselamatan.
Tinjauan Bernama mendapati beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemantauan, selain polis turut memperluaskan pemasangan tali kuning bagi mengelakkan orang awam menghampiri kawasan berkenaan.
Dalam kejadian pada pukul 6.38 petang semalam, dilaporkan lima kenderaan yang diletakkan di Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Serdang, mengalami kerosakan akibat mendapan tanah di kawasan itu.
Sumber: BERNAMA