Gambar:

Tanah 169 Ekar Di Kinrara Bukan Lagi Hutan Simpanan Kekal

Hannah

Tanah 169 Ekar Di Kinrara Bukan Lagi Hutan Simpanan Kekal

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, tampil memberikan penjelasan berhubung cadangan pembangunan tanah seluas kira-kira 169 ekar berhampiran Rizab Hutan Ayer Hitam, Kinrara, Puchong yang terletak dalam kawasan DUN Kinrara dan Parlimen Subang.

Dalam satu kenyataan, beliau menjelaskan bahawa pejabatnya telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan pengesahan berhubung status tanah berkenaan susulan dakwaan bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan hutan.

“Hasil semakan bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mendapati bahawa kawasan tersebut bukan lagi merupakan Hutan Simpanan Kekal.

“Berdasarkan rekod pewartaan, kawasan berkenaan pada asalnya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Ayer Itam yang diwartakan pada tahun 1906 (Warta Kerajaan No. GN743).

“Walau bagaimanapun, pada tahun 1926 kawasan tersebut telah dinyahwarta kepada Tanah Kerajaan dan seterusnya diberi milik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara tersebut turut dimaklumkan kepada Pejabat YB Ng Sze Han yang juga menunjukkan keprihatinan terhadap status tanah berkenaan dan telah mengemukakan permohonan rasmi untuk mendapatkan pengesahan.

Dalam kenyataan sama, Jamaliah memaklumkan, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk membangunkan kawasan tersebut, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Kerajaan Negeri menghargai keprihatinan orang awam serta pertubuhan masyarakat sivil terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar, dan akan terus memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah berlandaskan fakta, peruntukan perundangan serta kepentingan jangka panjang negeri dan rakyat,” tambahnya.

BACA: Pengharaman Vape Kekal, Memorandum Jemaah Menteri Dibentang Awal Tahun

Sumber: Jamaliah Jamaluddin/FB