Tan Sri Zainal Rahim Seman Dilantik Sebagai Pengerusi Majlis Penasihat NAFAS
KUALA LUMPUR, 11 NOVEMBER 2024 – Tan Sri Zainal Rahim bin Seman, mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) hari ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). Watikah pelantikan beliau telah disampaikan oleh YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu dalam satu majlis ringkas di Menara LPP, Kuala Lumpur.
Selain Tan Sri Zainal Rahim bin Seman, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu turut menyampaikan watikah lantikan kepada tiga (3) orang lagi bagi mengganggotai Majlis Penasihat NAFAS dan lima (5) orang Pentadbir. Ketika diminta mengulas lantikan Tan Sri Zainal Rahim, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu berkata, “Saya yakin dengan pengalaman luas yang ada pada Tan Sri Zainal sebagai mantan KPPA dan juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, beliau akan mampu membantu LPP untuk melakukan reformasi dan tata kelola di NAFAS”.
Menurut Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu lagi, “NAFAS akan terus beroperasi seperti biasa. Semua urusan perniagaan, perkhidmatan dan kakitangan NAFAS kini adalah di bawah arahan Pentadbir dengan dikawal selia oleh Pendaftar PP”.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) YBrs. Encik Amir bin Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawahSeksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109) telahmembuat satu perintah penggantungan NAFAS berkuatkuasa pada 1 November 2024. Semasa tempoh penggantungan dikuatkuasakan, NAFAS akan diurus oleh Pentadbir yang dilantik oleh Pendaftar PP.
Majlis Penasihat NAFAS akan berfungsi untuk menasihati Pendaftar dalam membuat keputusan sekiranya wujud perkara-perkara yang dirujuk oleh Pentabdir kepada Pendaftar berhubung masalah harian di NAFAS bagi memastikan fungsi NAFAS berjalan dengan cekap tanpa gangguan dari segi operasi perniagaan dan perkhidmatan.

Adalah menjadi harapan agar segala pemulihan NAFAS dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur demi kepentingan 605,552 ahli peladang di seluruh negara.