Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Takiyuddin Hassan supaya jangan bersifat gopoh mengenai dakwaan peruntukan dana melibatkan syarikat perjudian.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai Takiyuddin yang menuntut dirinya mengemukakan bukti selepas membayangkan Perikatan Nasional (PN) didakwa menerima dana daripada syarikat perjudian semasa Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) lalu.
Menurut Anwar, difahamkan dakwaan tersebut dipercayai berkaitan dengan pelanggaran peraturan dalam isu berkenaan.
“Dia tak baca, itu masalahnya..RM600 billion peruntukan sepenuhnya tetapi kita akan teliti di mana ada pelanggaran peraturan dan ketirisan.
“Saya nak nasihat Takiyuddin, jangan gopoh kerana saya sekarang di Kementerian Kewangan, fail ada pada saya,” kata Anwar dalam satu sidang media Kementerian Kewangan sebentar tadi.
Terdahulu, Takiyuddin memaklumkan bahawa PAS berasa amat kesal dengan tuduhan tersebut yang disyaki berunsur fitnah dan tidak berasas.
“Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan PAS menuntut Perdana Menteri PH memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada.
“Sekiranya gagal, PN akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh tentang angka sejumlah peruntukan besar yang digunakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu yang dikatakan mencetus kontroversi.
“Ini saya juga yang kontroversi yang dibahaskan sekarang, RM500 bilion, RM600 bilion semasa PKP dalam keadaan darurat. Dalam Parlimen saya sudah sebut bahawa kenyataan itu sengaja mengelirukan, seolah-olah kerajaan memberikan rakyat bilangan besar.
“Sejumlah besar ialah KWSP, duit rakyat sendiri. Tetapi ada berpuluh bilion lain ayng diperuntukan yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan,” katanya.
Sehubungan itu beliau memberi peringatan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perkara tersebut.
“Jadi saya nak berikan peringatan kepada Tan Sri Muhyiddin, jangan cabar kerana memang ada beberapa proses dan prosedur yang kena dipatuhi oleh syarikat yang berkepentingan atau terkait dengan kelurga juga terlibat.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan beliau kini ingin menumpukan perhatian sepenuhnya dalam pertumbuhan ekonomi dan memajukan negara serta memberi kebajikan kepada rakyat.
Bagaimanapun beliau mendakwa terpaksa ‘bertindak’ sejurus ‘dicabar’ tentang isu peruntukan berkenaan.
“Tetapi sebaik dicabar, kita terpaksa melihat dan kalau boleh hentikan 7 bilion itu. Mereka boleh uar-uarkan mereka bersih, tidak bersih sama sekali,” ujarnya.
Kenyataan Anwar tersebut boleh dirujuk menerusi video penuh siaran langsung di bawah pada sekitar minit ke-5. Berita lanjut menyusul.
Sumber: BERNAMA