Tak Sempat Masak, Tong Gas Meletup Sekelip Mata Lepas Hidupkan Dapur
Jakarta — Dua cedera selepas tong gas mengalami kebocoran dan meletup dalam kejadian di Cengkareng Barat pada Rabu.
Kejadian yang turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai berpunca daripada tong gas seberat 12 kilogram yang dipasang di dapur, lapor Liputan6.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Cengkareng, AKP Parman Gultom, berkata bau gas dapat dihidu oleh pemilik sebelum letupan berlaku.
“Jadi gas itu berbau, ia bocor. Pemilik rumah ingin memasak dan menghidupkan dapur namun tidak lama selepas itu ia terus meletup,” katanya.
Letupan terbabit menyebabkan bumbung dan siling runtuh dan bingkai tingkap tercabut. Malah rumah jiran turut terjejas, yang memperlihatkan siling berlubang dan dinding retak.
Pemilik rumah yang berusia 73 tahun melecur teruk iaitu meliputi 60 hingga 70 peratus pada bahagian badan. Manakala, jirannya, 47, cedera di kepala akibat terkena serpihan yang jatuh.
Kredit: Liputan6“Ada dua mangsa, seorang pemilik rumah yang melecur dan seorang lagi jiran turut mengalami kecederaan,” katanya.
Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan perubatan di Hospital Pertamina.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Barat, Komisioner Arfan Zulkan Sipayung mengesahkan letupan berlaku susulan kepala gas yang tidak dipasang dengan rapat.
“Jadi ia bukan kerosakan pada tong itu tetapi mungkin kerana kepala gas tidak dipasang dengan betul,” katanya.
Video tersebut menjadi tular di media sosial, memperlihatkan detik-detik ketika kejadian berlaku.
Sumber: Liputan6