Kredit: Image FX

Tak Sangka, Ini Sebab Kenapa Rupa Kita Lain Dalam Gambar Berbanding Cermin

Athirah

Tak Sangka, Ini Sebab Kenapa Rupa Kita Lain Dalam Gambar Berbanding Cermin

Hampir setiap hari, kita akan menatap cermin ketika bersiap, memastikan rambut tersisir rapi, pakaian terletak kemas dan penampilan berada dalam keadaan terbaik sebelum melangkah keluar.

Selain itu, cermin menjadi rakan setia yang membantu kita menilai diri sendiri, memberi gambaran segera tentang bagaimana orang lain mungkin melihat kita.

Menariknya, hasil yang dipaparkan kamera tidak selalu seiring dengan apa yang kita lihat di cermin, sehingga menimbulkan persoalan tentang mengapa kedua-duanya boleh memberikan gambaran berbeza.

Justeru, SK kali ini akan menjelaskan mengapa cermin dan kamera tidak selalu memaparkan imej yang sama, serta faktor-faktor yang mempengaruhi perbezaan tersebut.

Cermin atau Kamera: Mana yang lebih tepat?

Menurut portal Medium, cermin biasa memaparkan imej terbalik secara lateral. Ini bermaksud sisi kiri anda kelihatan sebagai sisi kanan, dan sebaliknya. Apabila anda mengangkat tangan kanan di hadapan cermin, pantulan anda mengangkat tangan kiri.

Pandangan terbalik inilah yang paling kerap kita lihat, jadi ia merupakan versi diri kita yang paling biasa kita berinteraksi dengannya.

Difahamkan, otak kita telah belajar untuk mentafsir imej terbalik ini sebagai “diri kita” disebabkan pendedahan yang berterusan ini.

Kenapa ia penting untuk ketepatan imej?

Wajah dan tubuh manusia jarang sempurna secara simetri. Oleh itu, tahi lalat di pipi kiri muncul di sisi kanan dalam cermin, malah garis rambut yang sedikit tidak sekata turut terbalik.

Asimetri halus inilah yang membuat wajah setiap orang unik, tetapi dalam cermin, ia kelihatan sedikit berbeza daripada sebenar.

Selain itu, kita lebih biasa melihat pantulan diri sendiri dalam cermin, membuat kita menganggapnya sebagai versi ‘betul’. Imej sebenar dalam fotografi, yang tidak terbalik pula boleh kelihatan asing atau ‘salah’.

Lensa kamera menangkap pandangan sebenar

Menurut portal Medium, lensa kamera standard menangkap imej terus tanpa terbalik daripada apa yang berada di hadapannya. Inilah cara orang lain melihat anda dalam kehidupan sebenar, di mana bahagian kiri tetap kiri dan bahagian kanan tetap kanan.

Kenapa ia terasa “tidak tepat” bagi kita?

Kekok

Kita jarang melihat diri dari perspektif ini, jadi imej tidak terbalik dalam foto boleh terasa asing.

Distorsi lensa dan sudut

Difahamkan, lensa sudut lebar seperti kamera selfie telefon, boleh buat ciri wajah seperti hidung nampak lebih besar atau tepi imej melengkung.

Lampu dan posisi

Seterusnya, foto menangkap satu saat tertentu kerana pencahayaan atau gaya yang kurang sesuai boleh menjadikan imej berbeza daripada penampilan biasa.

Perspektif orang ketiga

Tambahan lagi, melihat diri seperti orang lain melihat boleh terasa janggal kerana kita lebih biasa dengan pandangan cermin.

Antara cermin dan kamera, mana yang lebih tepat?

Dari segi objektif, iaitu bagaimana orang lain melihat anda, foto dengan kamera yang baik dan dalam keadaan sesuai memberikan gambaran lebih tepat kerana imej tidak terbalik.

Dari segi subjektif, iaitu bagaimana anda melihat dan merasai diri sendiri, cermin terasa lebih ‘tepat’ kerana itulah pandangan yang biasa anda lihat setiap hari.

Bagaimanapun, tiada satu pun cermin atau kamera yang menunjukkan gambaran ‘tepat’ tentang diri kita kerana penampilan boleh berubah mengikut cahaya, mood, waktu dan konteks.

BACA: Beberapa Hari Tahan Lapar, Mangsa Banjir Aceh Mohon Bantuan PM Anwar

Sumber: Medium