Tak sampai 10 minit bintang bola sepak dunia Cristiano Ronaldo sah bergelar pemain Manchester United, nilai saham kelab tersebut dilaporkan menaik.
Menurut akaun Twitter rasmi Telegraph Investing, saham kelab gergasi itu naik semasa khabar angin perpindahan tersebut menjadi bualan hangat.
“Saham kelab Manchester United telah melonjak naik sebanyak 5% semasa khabar angin bahawa Cristiano Ronaldo bakal sertai kelab itu beredar,” tulisnya di Twitter.
Namun begitu, pada muat naiknya yang terbaru mengesahkan bahawa selepas khabar angin itu direalisasikan, saham kelab tersebut naik.
“Saham kelab Manchester United melonjak naik sebanyak 8% selepas Ronaldo sah bergelar pemain kelab tersebut,” tulisnya.
Menurut wartawan Joe Pompliano, sebanyak 8% iaitu kira-kira USD 250 juta (RM 1.04 bilion) telah dijana selepas perpindahan Cristiano Ronaldo dari Juventus ke Manchester United diumumkan berjaya.