Baru-baru ini, sempat tular di media sosial sebuah rakaman yang menunjukkan seorang lelaki mengasari pemandu kereta warga emas menggunakan topi keledar di sebuah stesen minyak.
Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini, suspek yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 38 tahun berasa tidak puas hati apabila kereta mangsa mendahului motosikalnya yang ingin memasuki petak pam minyak yang sama. Suspek yang juga bekerja sebagai pemandu peribadi itu kemudian bertindak memukul mangsa dengan topi keledar miliknya dan berlalu pergi.
Tambah kenyataan tersebut, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dadah berbahaya pada tahun 2010 dan masih dalam status dikehendaki polis. Pun begitu, hasil saringan terkini ujian air kencing suspek semalam menunjukkan keputusan negatif.
Suspek telah dihadapkan ke Majistret Kuala Lumpur dan dibenarkan direman selama tiga hari sehingga 16 November 2021. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Memetik kenyataan IPD Brickfields, mangsa yang merupakan lelaki warga emas berumur 64 tahun telah menerima rawatan dan dibenarkan keluar dari wad hari ini. Pihak polis akan merakam keterangan mangsa setelah lelaki tersebut pulih sepenuhnya.
Orang awam yang berada di tempat kejadian diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan. Sebarang maklumat berkait jenayah boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis berhampiran.


Sumber: Polis KL