Baru-baru ini ‘kecoh’ di media sosial tentang rakaman video memaparkan aksi seorang lelaki yang merupakan ‘influencer’ dan juga usahawan, bertanya kepada seorang warga emas di sebuah pusat gelandangan di ibu kota dalam satu program.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu memberi reaksi kurang senang dalam kalangan netizen kerana pertanyaan tersebut didakwa mengaibkan, selain dianggap tidak sesuai.
Saya betul-betul mohon maaf
Hari ini, lelaki itu tampil di akaun Twitternya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran kes tular tersebut, dimulakan dengan ayat ringkas ‘Im sorry Malaysia‘.
Dia menulis penjelasan panjang mengenai isu berkenaan melalui bebenang di Twitter seperti yang dikongsikan di bawah ini. Jelasnya, dia sama sekali tidak pernah berniat untuk menghina sesiapa terutamanya golongan yang memerlukan bantuan.
“Tidak pernah terlintas di minda saya untuk menghina mereka yang memerlukan bantuan kerana saya juga sama seperti mereka pernah susah dan memerlukan bantuan orang ramai dahulu.
“Untuk apa saya bersusah-payah membantu mereka jika untuk menghina mereka. Sedangkan saya sendiri adalah manusia yang hina penuh dengan dosa,” katanya.
Malah, dia turut memberitahu akan berjumpa dengan warga emas itu dalam masa terdekat untuk memohon maaf dan memperbetulkan kesilapannya.

Dalam pada itu, dia juga turut mengulas mengenai isu perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka di lokasi kejadian.
Dia mengaku membuat kesalahan tersebut dan memohon maaf kepada orang ramai selain mengatakan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia telah memanggilnya dan mengenakan kompaun.
BACA: Lelaki Dalam Video Tular Dipanggil Polis, Dikenakan Kompaun RM 1,500 Tak Pakai Pelitup Muka

Apa sebenarnya yang berlaku di sana?
Dalam ciapan seterusnya, lelaki ini menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur semasa hari kejadian.
Jelasnya, pada awalnya dia dijemput oleh pusat transit gelandangan tersebut bagi membantu golongan tersebut untuk bangkit mengubah hidup serta memulakan fasa kehidupan baharu yang lebih baik.
Berdirinya dia di situ adalah untuk menyampaikan suntikan motivasi kepada gelandangan-gelandangan di sana. Ketika itu, bermulalah situasi seperti apa yang dirakam dalam video tular tersebut.

Jelas lelaki itu, dia sedar yang dia tidak sepatutnya bercakap dengan nada sebegitu dengan individu yang lebih tua. Kejadian ini sekaligus dikatakan menjadi pengajaran paling besar dalam hidupnya.

Di akhir pengakuan, lelaki tersebut turut memohon maaf kepada rakan kumpulannya sendiri gara-gara terpalit dengan isu tersebut.

Sumber: Twitter