
“Tak Pernah Kami Sediakan Air Panas…”, Rapid KL ‘Tegur Sebab Sayang’ Penumpang Makan Mi Segera Dalam Tren
Makan dan minum dalam pengangkutan awam seperti bas dan tren adalah dilarang bagi memastikan semua penumpang berada dalam keadaan selesa sementara menunggu tiba ke destinasi masing-masing.
Peraturan berkenaan kebiasaannya memang sudah dipaparkan di dalam ruang tempat duduk penumpang dan boleh dibaca dengan mudah.
Menerusi laman Facebook milik Rapid KL, mereka berkongsi sekeping foto yang memperlihatkan dua remaja sedang bermain telefon dengan salah seorang daripadanya mengepit dipercayai mangkuk mi segera.
Rapid KL juga turut berkongsi teguran berkenaan perbuatan penumpang makan di dalam tren yang disediakannya.
“Tak pernah pula kami sediakan air panas untuk makan mi segera dalam tren kami. Dah makan, tak pakai pelitup muka pula.
“Untuk keselesaan anda, ada sebab kami melarang penumpang untuk makan dan minum di dalam tren,” tulis mereka.

Sebagai sebuah pengangkutan awam, sudah sememangnya kita perlu mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan tersebut demi kesejahteraan pengguna yang lain.
Semoga ia menjadi iktibar buat semua.
Sumber: Rapid KL