
Individu yang telah mendapat vaksin penuh Covid-19 kini boleh melakukan perjalanan dengan selamat di Amerika Syarikat (AS) tanpa membahayakan diri mereka atau orang lain, menurut garis panduan negara itu yang baru dikeluarkan pada Jumaat.
Pelancong yang diberi vaksin sepenuhnya kurang cenderung untuk mendapat dan menyebarkan Covid-19, kata kenyataan Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam garis panduan.
Selain itu, mereka yang telah mendapat vaksin sepenuhnya tidak perlu melakukan ujian Covid-19 sebelum atau selepas melakukan perjalanan atau melakukan kuarantin, kecuali di tempat yang memerlukannya.
Walau bagaimanapun, pelancong yang diberi vaksin tetap harus memakai topeng yang menutup hidung dan mulut, mengekalkan jarak enam kaki dari orang lain dan kerap mencuci tangan atau menggunakan pembersih tangan, menurut CDC.
Panduan ini terpakai untuk individu yang melakukan perjalanan di dalam negara dan wilayah AS. Vaksin yang digunakan juga mestilah yang diberi kebenaran oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah.
”CDC mengesyorkan untuk menunda perjalanan sehingga anda diberi vaksin sepenuhnya kerana perjalanan meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan dan menyebarkan Covid-19,” kata panduan itu.
Menerima dua dos vaksin Pfizer atau Moderna atau satu dos vaksin Johnson & Johnson tidak bermaksud seseorang itu ‘diberi vaksin sepenuhnya’ di bawah garis panduan CDC.
Seseorang individu dianggap mendapat vaksin sepenuhnya dua minggu selepas mereka mendapat suntikan Pfizer atau Moderna dos kedua, atau dua minggu selepas suntikan Johnson & Johnson.
CDC mengesyorkan agar mereka yang tidak diberi vaksin sepenuhnya agar melakukan ujian Covid-19 satu hingga tiga hari sebelum perjalanan, serta tiga hingga lima hari selepas perjalanan dan melakukan kuarantin diri di rumah selama tujuh hari penuh.
Mereka yang tidak melakukan ujian Covid-19 pula harus berada di rumah dan melakukan kuarantin selama 10 hari setelah pulang.
Sehingga hari Jumaat, kes Covid-19 di As telah melebihi 30 juta kes dan lebih daripada 153 ribu kematian turut dicatatkan, menurut Pusat Sumber Coronavirus Universiti Johns Hopkins. Dalam pada itu, lebih daripada 158 juta dos vaksin coronavirus telah diberikan di seluruh negara, lapor Bloomberg.
Sumber: Metro UK