Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa penganjur majlis Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.
Menterinya, YB Khairy Jamaluddin menerusi satu kenyataan mengatakan bahawa majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi yang terlibat telah dicemari dengan kegagalan penganjur dalam memastikan kepatuhan kepada SOP dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama ini sepatutnya memberikan contoh yang terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan serta orang ramai.
“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktivti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan,” katanya.
Tambahnya lagi, situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan COVID-19.
Sumber: Khairykj