Institut Teknologi India (IIT) Goa telah memutuskan untuk meredakan sedikit tekanan para pelajarnya yang bakal menduduki peperiksaan semester di tengah-tengah wabak pandemik COVID-19, dengan meminta mereka untuk membuat soalan mereka sendiri, lapor portal India Today.
Menurut kertas soalan untuk peperiksaan semester tersebut, pelajar telah diminta untuk menyiapkan soalan mereka sendiri dari keseluruhan pengajian semester mereka, yang terdiri daripada 30 kuliah. Pelajar diminta untuk menjawab soalan mereka sendiri pada masa yang telah ditetapkan.
Kertas soalan dengan lebih lanjut menyatakan bahawa, “Soalan-soalan harus mencerminkan pemahaman anda tentang kursus dan juga harus dijawab dalam masa 2 jam. Dilarang berbincang dengan rakan anda. Jika terdapat persamaan, markah anda akan dikurangkan.”

Disebabkan gelombang kedua wabak COVID-19 membadai negara tersebut, ramai pelajar yang belajar di institut pengajian tinggi di seluruh negara itu pada ketika ini terpaksa didorong untuk membatalkan peperiksaan akhir mereka kerana kelas terpaksa diadakan secara dalam talian hampir sepanjang tahun.
Selepas kertas soalan dari IIT Goa menjadi tular, para pelajar memuji kaedah unik di mana institut ini memutuskan untuk menjalankan peperiksaan semesternya, untuk mengingati kesukaran yang dihadapi oleh para pelajar di tengah wabak tersebut.
Sebilangan pelajar juga turut meminta untuk menerapkan kaedah peperiksaan yang serupa pada semua institusi pendidikan tinggi di negara itu, bagi memastikan bahawa skor pelajar tidak terkesan atas keadaan yang menimpa negara itu kini.
Kertas soalan oleh IIT Goa itu dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama terdiri daripada 30 markah, di mana pelajar harus membuat soalan mereka sendiri, manakala bahagian kedua pula terdiri daripada 40 markah, di mana pelajar harus menjawab semua soalan yang mereka buat itu.
Sumber: India Today