
“Tak Larat Nak Pusing Habis,” Kalau Pergi MAHA2022, Fokus Kat 5 Tempat Ni Dulu, Baru Berbaloi
Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia atau singkatannya, MAHA2022 sudah pun bermula sejak 4 Ogos yang lepas. Dapat kita lihat begitu ramai sekali pengunjung yang ‘serbu’ ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) disebabkan terlalu banyak ‘port’ best untuk dikunjungi.
Seperti kebiasaan, pengunjung yang hadir ke MAHA2022 pasti akan berasa penat kerana mereka perlu berjalan jauh ‘menjelajah’ ke seluruh MAEPS untuk menikmati dan menghabiskan sesi lawatan. Walaupun penat, tapi kepenatan itu berbaloi kerana setiap lawatan pasti akan menjadi kenangan terindah.
Justeru, bersempena dengan keterujaan ramai pengunjung untuk mencari tarikan terbaik di MAHA2022 dan kami pun ‘memahami’ kepenatannya, kali ini kami nak kongsikan LIMA tempat paling berbaloi untuk anda singgah kalau sudah sampai di MAHA2022.
Jadi kalau rasa-rasanya anda nak kurangkan letih berjalan bila sudah sampai di MAHA2022 nanti, bolehlah terus fokus pada lima tempat ini dulu. Barulah teratur, confirm lebih puas rasanya nak berjalan.

Kalau anda pernah berangan nak mengembara ke seluruh negara tapi belum sempat, nah, di sinilah masanya. Di State Pavilion, anda akan berpeluang ‘singgah’ ke venue kesemua 14 negeri di seluruh Malaysia untuk mengenali pelbagai warisan, adat budaya, makanan dan bermacam-macam lagi yang ditampilkan.
Kalau datang ke Pavilion Melaka misalnya, dapatlah anda merasai pelbagai juadah warisan enak negeri Hang Jebat itu seperti dodol, cencaluk, belacan dan sebagainya. Bukan makanan saja, ada banyak lagi benda menarik lain yang disediakan di setiap pavilion negeri masing-masing. Seperti yang dikongsikan menerusi video TikTok Siakap Keli baru-baru ini, anda boleh melihat jodoh anda dari mana ataupun di manakah tempat anda berjumpa dengan pasangan. Jom tengok video di bawah untuk melihat keadaan di State Pavilion terletak di MAHA2022.

Di MAHA2022, bukan sahaja buah-buahan dan makanan menarik menanti anda, malah kehadiran anda akan dinantikan oleh haiwan-haiwan ternakan yang ‘dibawa khas’ ke ekspo besar ini. Selalu nampak haiwan ternakan yang rare hanya dalam media sosial saja kan? Nah, inilah masanya untuk anda melihat sendiri haiwan-haiwan ternakan yang menarik.
Kalau anda masih ingat lagi, pernah juga viral sebelum ini mengenai baka lembu ‘sado’ jenis hibrid milik Army Fidlot dari Pasir Puteh, Kelantan. Nak tahu tak, pengusaha ternakan tersebut, Mohd. Amirul Amin Ismail membawa dua ekor lembu sadonya, Puteh dan Pokjak ke MAHA2022 untuk ‘dipertontonkan’ kepada anda semua. Lihatlah dengan mata kepala sendiri betapa sadonya lembu unik ini.



Khas buat pencinta bunga dan herba, jangan lepaskan peluang untuk ‘menyelam’ ke dalam ‘lautan’ 20,000 tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada 70 spesies berbeza di Miracle Garden yang berlokasi di Laman Florikultur di MAHA2022. Selain itu, kehadiran anda juga bakal ‘disambut’ oleh kira-kira 300 ekor rama-rama yang berterbangan melewati alunan pancuran air.
Antara salah satu ‘spot’ penting anda wajib singgah ialah Taman Bunga Matahari yang ‘diolah’ dalam susunan rapat ratusan kuntum bagi memberikan impak seakan sinaran matahari. Taman Tropika juga tersedia untuk anda bagi yang ingin melihat sendiri 15 spesies tumbuhan herba dan bunga eksotik paling jarang ditemui selama ini, misalnya giant bird of paradise, lempoyang, rattle snake dan sepit udang yang biasanya hanya boleh ditemui di hutan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Pahang.



MAHA2022 bukan saja tempat untuk mencuci mata melihat pelbagai jualan pertanian menarik, malah anda juga boleh ‘sempat’ membeli beras untuk dibawa pulang ke dapur rumah dengan harga cukup rendah serendah RM10 bagi lima kilogram! Demikianlah tawaran menarik jualan happy hour yang disediakan di Laman Agro-Food Padi – satu-satunya lokasi tepat untuk mengenali padi dan beras dengan lebih dekat di ekspo ini.
Menariknya, anda juga digalakkan untuk bawa anak-anak ke sini supaya mereka boleh melihat sendiri bagaimana padi dihasilkan menjadi makanan ruji, dalam masa sama boleh mendidik mereka tentang kepentingan padi sebagai jaminan keselamatan makanan negara (food security). Pendek kata, beli beras pada harga jimat boleh, belajar tentang isu keselamatan makanan pun boleh.






Dah puas berjalan di pavilion negeri, lihat lembu sado di ladang ternakan, menyelam di lautan bunga dan beli beras? Nak balik dah? Nanti dulu. Tak lengkap perjalanan anda di MAHA2022 kalau tidak masuk ke dalam Dewan A, C dan D yang menyediakan bermacam-macam lagi aktiviti menarik untuk anda.
Antara aktiviti menarik menanti anda adalah demo masakan usahawan, permainan roda impian, uji rasa strawberi, happy hour pemberian hadiah misteri, reruai kerja kosong (job fair), persembahan buskers, pendidikan sambil berhibur (edutainment), demonstrasi dron dan banyak lagi!
Pening tempat best banyak sangat tapi tak tahu nak mula dari mana? Jangan risau, anda boleh memuat turun buku Panduan Pengunjung MAHA2022 seperti yang tertera dalam pautan INI. Berikut di bawah adalah keratan lampiran halaman buku panduan tersebut lengkap dengan peta, senarai tempat dan sebagainya.

Jom kita tengok juga suasana di dewan A yang sentiasa meriah dikunjungi pelawat.
Bila dah singgah di kelima-lima tempat ini, barulah rasa puas datang ke MAHA2022 walaupun ‘terpaksa’ beratur panjang untuk dapatkan tempat letak kereta. Kalau anda rasa masih ada banyak masa dan tenaga, barulah boleh kunjungi kesemua tempat di MAHA2022 tersebut. Manakala bagi yang masih belum pergi, apa kata bawa keluarga dan ajak rakan-rakan untuk serbu ke sini. Penganjuran kali ini memang cukup besar dan yang paling penting, masuk percuma tau. Untuk dapatkan maklumat lanjut, anda boleh layari pautan INI bagi meneroka MAHA2022 secara virtual.
Sambil-sambil tu, bolehlah layan dulu gambar-gambar menarik yang sempat ditangkap oleh jurufoto kami ini ya.













