JAKARTA – Hanya kerana tak dibelikan motosikal, seorang lelaki tergamak membunuh isterinya sendiri.
Kejadian yang berlaku di Kabupaten Rejang Lebong, Bengkulu, Indonesia itu telah meragut nyawa seorang wanita berumur 31 tahun.
Dilaporkan, suspek yang merupakan suami kepada mangsa, KO, 30, tergamak melakukan perkara itu kerana berasa geram isterinya tidak membelikan motosikal untuknya.
Berdasarkan pengakuan KO, dia berasa malu kerana tidak memiliki motosikal.
Tambahnya lagi, sudah dua bulan dia meminta isterinya untuk membelikan motosikal yang seharusnya menjadi tanggungjawabnya selaku ketua keluarga.
“Saya ada hutang juga yang mahu dibayarkan, saya bermain kutu untuk membeli motor tapi saya menunggak untuk membayarnya,” kata KO.
Walau bagaimanapun, berdasarkan pengakuannya, dia hanya memiliki hutang sebanyak RM 150 (Rp 500 ribu) sahaja.
Namun, dia meminta wang sebanyak RM 750 (Rp 2.5 juta) daripada isterinya untuk membeli motosikal.
Sementara itu, pihak polis menjumpai ‘bong’ yang merupakan alat menghisap syabu ketika menggeledah rumahnya.
KO mengaku alat itu bukan miliknya kerana rumahnya kerap dijadikan markas untuk bermain judi. Berdasarkan hasil ujian air kencing yang dilakukan, KO didapati negatif dadah.
Ketua Operasi Kajian dan Jenayah Balai Polis Rejang Lebong, Iptu Deny Fita Mukhtar berkata, mangsa berasa tertekan kerana sering bertengkar.
Mangsa kemudiannya mengambil wayar elektrik lalu melilit lehernya sendiri. Mangsa sempat berkata, ‘daripada saya makan hati, lebih baik bunuh diri’.
Ekoran itu, suaminya naik berang lalu menyentak wayar yang berada di leher mangsa dengan kuat sehingga menyebabkan kematiannya.
“Mangsa kemudiannya jatuh terduduk dalam keadaan tidak bernafas”, kata Iptu.
Setelah itu, suaminya melarikan diri dengan cara melompat melalui tingkap rumah dan lari menuju ke Bandar Lampung.
Namun, telah menyerahkan diri kepada pihak polis hasil jemputan daripada keluarga pada hari Selasa lalu.
Suspek akan didakwa di bawah pasal 44 ayat 3 undang-undang nomor 23 tahun 2004 tentang penghapusan kekerasan dalam rumah tangga (KDRT).
Sumber: Tribun News