balik

Tak Ada Internet Punya Pasal, Budak Menangis ‘Histeria’ Tak Nak Ikut Keluarga Balik Kampung

Sofea

Tinggal beberapa hari saja lagi kita semua bakal menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri. Kini ramai yang sudah mula berangkat balik kampung setelah dua tahun tidak dapat melakukannya.

Pastinya ia merupakan momen yang sangat bermakna dan dinanti-nantikan oleh semua penganut agama Islam.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan situasi yang dialami oleh seorang kanak-kanak di Indonesia ini yang didakwa tidak mahu pulang ke kampung halaman hanya kerana tiada sambungan internet.

Memetik laporan Media Pemalang, kejadian lucu itu dirakam dan dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok, @asnizainal90.

Menerusi video itu, dapat dilihat seorang kanak-kanak lelaki yang meronta-ronta dan marah kerana tidak mahu pulang ke kampung halamannya.

Dia dipercayai berang kerana keluarganya memaksanya menaiki kereta.

Difahamkan, dia bertindak sedemikian kerana takut tidak dapat menggunakan gajetnya apabila tiba di kampung halamannya yang tiada sambungan internet.

Seorang lelaki kemudian dilihat mengangkat kanak-kanak itu dan cuba mengheretnya masuk ke dalam kereta.

Aksinya itu juga telah menarik perhatian penduduk yang kebetulan melalui jalan itu.

“Nggak ada jaringan, nggak ada jaringan,” katanya sambil mengamuk dan memegang pintu kereta supaya dia tidak masuk ke dalam.

Sehingga kini, video tersebut telah mendapat 3 juta tontonan dan dihujani dengan pelbagai komen dari netizen.

“Sedihnya zaman sekarang kita dihantui gajet, masa kecil-kecil bila pergi rumah nenek suka minta ampun,” kata seorang netizen.

“Kalau tak ada jaringan, mandilah sungai, main sawah ke,” tulis seorang lagi.

“Semoga pihak berwajib dapat pasang jaringan internet di kampungnya nanti,” tulis yang lain.

Sumber: Media Pemalang