keadaan sebenar aceh kritikal
Kredit: Ahmad Faezal
Tiada Kategori

“Tahap Kritikal,” Pencipta Kandungan Malaysia Kongsi Keadaan Sebenar Di Aceh

Azizah Najib

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

“Tahap kritikal,” Pencipta Kandungan Malaysia Kongsi Keadaan Sebenar Di Aceh

Bencana banjir besar yang melanda Aceh pada November lalu masih meninggalkan kesan besar buat warga di sana. Selepas diuji banjir, Aceh dilanda pula wabak penyakit bawaan air.

Dalam situasi pasca banjir, kehidupan harian penduduk Aceh masih belum kembali pulih sepenuhnya.

Keadaan ini turut menjadi perhatian ramai pihak yang ingin menyampaikan bantuan.

Antara mereka yang turut turun padang termasuk seorang pencipta kandungan, Ahmad Faezal.

Menerusi salah satu muat naik di laman Thread miliknya, pemandangan di sana dipenuhi timbunan batang pokok yang dihanyutkan air banjir.

Ketika ditanya SK, lelaki tersebut memaklumkan bahawa tujuannya ke sana berikutan berlaku satu perkara yang aneh baginya.

“Sejujurnya saya tak dengar apa-apa dah pasal isu banjir di Aceh sejak Disember tu. Saya menjangka masalah dah selesai tapi bila satu demi satu NGO turun sana nak bagi bantuan, saya pun hairanlah.

“Maka saya ambil inisiatif untuk pergi sama dan buat investigative journalism, nak jelajah tengok secara langsung apa jadi,” jelasnya di awal perbualan.

Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, dia berpeluang berhubung secara langsung dengan beberapa NGO seperti Ikhlas Care dan Muslim Care.

“Sambil menjelajah tu, saya buat liputan sebagai tanda awareness yang diakhiri dengan saluran sumbangan bantuan.

“InsyaAllah 30 Disember ini akan kembali ke Aceh untuk pengagihan bantuan tu,” sambungnya.

Keadaan Aceh pasca bencana

Berkongsi pengalamannya, keadaan di sana dilihat berada pada tahap kritikal.

“Aceh sekarang sedang bertahan kerana ada pondok bekalan makanan, baju dan sebagainya. Mereka panggil pondok ni posko.

“Pakaian misalnya disusun secara menimbun. Banyak juga pakaian wanita, jadi saya nampaklah yang lelaki terpaksa mengenakan pakaian wanita sebab tu je yang ada,” kongsinya.

Bukan itu sahaja, berdasarkan pemerhatiannya, ramai wanita terpaksa menunaikan solat dalam keadaan aurat yang tidak ditutup dengan sempurna.

“Atas sebab ni juga saya bergiat nak bantu,” maklumnya.

Menyentuh berkenaan tempat berlindung, lelaki berkenaan mendapati kediaman di sana ada yang hanya tinggal tapak, tiada lagi binaan.

“Mereka ni salvage papan keliling dan bina bangsal guna tiang ringkas. Sumber pendapatan terputus, mereka cari rezeki guna apa cara yang ada,” tambahnya lanjut.

Antara ‘kerja’ yang dibuat termasuk menjadi ‘polis trafik’ dan ada juga yang menghulurkan bakul pada setiap kereta yang lalu lalang.

Malah, ada yang sanggup beratur panjang bagi mendapatkan minyak di stesen untuk dijual semula di dalam botol.

“Situasi sana tu kritikal dah di sesetengah tempat. Ada tempat yang sedang pulih,” katanya.

Cabaran dihadapi sukarelawan

Sepanjang berada di Aceh, Faezal menghadapi keadaan yang sukar untuk menghulurkan bantuan. Antara cabaran yang dikongsi termasuk keadaan selut yang tebal serta kaca dan paku yang berselerakan. Begitu juga dengan infrastruktur yang musnah di sesetengah tempat.

“Tiada elektrik dan internet macam hotel saya di Langsa,” ujarnya.

Ketika ditanya berkenaan tahap kelaparan di sana, lelaki tersebut menjelaskan bahawa keadaan tersebut tidak dapat dipastikan. Hal ini berikutan menerusi pemerhatiannya, makanan di sana masih ada tetapi terhad.

“Mereka masak guna kayu api, masak ringkas saja seperti gulai ayam,” tambahnya.

Berlainan pula dengan bekalan air bersih. Difahamkan, air bersih memang sukar didapati.

“Ada tempat yang dapat akses, ada yang bergantung pada tangki besar,” kongsinya di akhir perbualan.

BACA: Tiub Di Hidung, Isteri Gigih Buat “Live” Bersama Suami Terlantar Cari Rezeki

BACA: Minta Cadang Nama “Hashtag” Majlis Perkahwinan, Lain Pula Jadinya

Sumber: Instagram Ahmad Faezal