Pengacara dan pelakon terkenal, Bob Lokman atau nama sebenar Mohd. Hakim Lokman, 58, kini berjuang untuk hidup dengan tahap jantung yang hanya tinggal 10 peratus.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Bob terpaksa bergantung hidup dengan alat bantuan jantung berkombinasi bateri iaitu Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).
“Saya kini berada di rumah dan tidak berapa sihat. Keadaan jantung saya juga kini tinggal 10 peratus sahaja lagi.
“Selagi bateri ini tidak mati, selagi itu saya bernafas. Apabila sudah sampai ajal, habislah. Tunggu waktu sampai sahajalah.
“Selagi sempat, selagi itulah kita mencari kesempatan untuk menjadi lebih baik,” katanya, memetik Utusan Malaysia.
Difahamkan, bagi memantau tahap kesihatannya, dia perlu mendapatkan rawatan lanjut setiap tiga bulan sekali.
Meskipun turut bergantung pada ubat-ubatan hospital, bagaimanapun dia tetap bersyukur dan kini hanya berserah kepada keajaiban (dengan izin) Allah Taala.
“Rawatan susulan di hospital untuk berjumpa doktor memang ada iaitu tiga bulan sekali. Jantung ini seperti bateri, walau setiap hari cas pun, makin lama makin kurang juga.
“Itulah, kita boleh jangka apa, ia sentiasa berjalan dan bergerak. Badan pula gemuk, banyak yang tidak sihat. Jantung tidak kuat, namun perlu banyak juga menggunakan jantung.
“Tidur pakai jantung, makan dan buang air pun pakai jantung. Jadi, semakin teruk jantung itu. Tidak boleh nak jangka apa, cuma bersyukur sahaja. Selagi ada umur, saya bersyukur sahaja,” jelasnya.
Imbas kembali, sejak 1 Oktober tahun lalu, Bob menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah.
Difahamkan, rawatan yang dijalaninya adalah kerana jantung pada bahagian atasnya tidak berfungsi dengan baik.
Pada April baru-baru ini, merujuk Utusan, kesihatannya dilapor kembali merosot gara-gara masalah buah pinggang yang dialaminya.
Keadaan tersebut menyebabkan dia terpaksa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@lIUM) di Kuantan, Pahang.
Sumber: Utusan Malaysia