Tabiat ‘Simple’ Tapi Sebenarnya Dalam Diam Merosakkan Otak
Gambar AI
Tiada Kategori

Tabiat ‘Simple’ Tapi Sebenarnya Dalam Diam Berisiko Merosakkan Otak

suhaila

Tabiat ‘Simple’ Tapi Sebenarnya Dalam Diam Berisiko Merosakkan Otak

Ramai di antara kita sering berfikir bahawa kerosakan otak hanya berlaku disebabkan oleh faktor besar seperti kemalangan serius, penyakit kronik atau penuaan semula jadi.

Hakikatnya, otak manusia boleh perlahan-lahan merosot hanya melalui tabiat kecil yang dilakukan berulang kali dalam kehidupan seharian.

Tabiat yang kita anggap nampak macam biasa-biasa dan tidak berbahaya tetapi sebenarnya memberi kesan jangka panjang kepada fungsi kognitif, emosi dan kesihatan mental secara keseluruhan.

Apa yang lebih membimbangkan kerosakan ini bukan datang secara mendadak. Ia berlaku perlahan-lahan dan senyap seperti air yang menitis sedikit demi sedikit tetapi akhirnya boleh membelah batu.

Lama-kelamaan, kita mula perasan diri cepat lupa, susah fokus, sukar tenang atau lebih sensitif terhadap tekanan harian. Jika tidak dikawal dari awal, ia boleh menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti dalam jangka panjang.

Untuk menjaga kesihatan otak, bukan hanya tentang mengambil makanan berkhasiat atau mengelak trauma fizikal. Ia juga tentang cara kita menjalani kehidupan harian.

Di bawah ini ialah beberapa tabiat simple yang ramai tidak sedar sebenarnya boleh merosakkan otak dalam diam.

1. Tidur yang tidak berkualiti

Tidur adalah masa penting bagi otak untuk reset atau memulihkan dirinya. Ketika kita tidur lena, otak sedang bekerja keras membersihkan toksin, menguatkan sambungan neuron dan memproses segala maklumat yang dikumpul sepanjang hari.

Inilah sebabnya tidur yang cukup amat penting bagi mengekalkan daya ingatan, fokus dan kestabilan emosi. Namun apabila tidur tidak mencukupi, otak tidak akan mempunyai ruang masa untuk menjalankan proses penyembuhan ini sepenuhnya.

Akibatnya kita akan mudah menjadi pelupa, hilang fokus dan mengalami keletihan mental walaupun baru memulakan hari.

Lebih buruk lagi, tabiat kurang tidur dalam jangka panjang boleh meningkatkan risiko penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer’s disease dan dementia.

Jadi, jangan pandang ringan tentang tabiat tidur. Ia bukan sekadar masa rehat tetapi satu pelaburan untuk kesihatan otak yang cergas dan kuat sepanjang hayat.

2. Terlalu bergantung pada telefon dan skrin

Skrin digital kini sudah menjadi sebahagian besar daripada hidup moden. Kita bangun tidur dengan telefon di tangan, makan sambil menonton video dan berbaring sebelum tidur sambil menatap media sosial tanpa sedar masa berlalu.

Walaupun peranti ini banyak memberi kemudahan, ketagihan skrin boleh melemahkan keupayaan otak untuk fokus secara mendalam.

Otak terbiasa menerima maklumat dalam bentuk laju, ringkas dan penuh rangsangan visual. Ia membuatkannya sukar menumpukan perhatian terhadap aktiviti yang lebih perlahan seperti membaca, menulis atau berfikir panjang.

Dalam jangka masa yang panjang keadaan ini boleh menyebabkan gangguan tumpuan, ketidakstabilan emosi dan penurunan daya analisis.

Malah, ramai yang tanpa sedar mengalami otak kabur atau brain fog akibat terlalu banyak input maklumat serentak. Menjaga kesihatan otak dalam era digital memerlukan kesedaran.

Berikan ruang kepada otak untuk bernafas dengan mengurangkan masa skrin secara berkala dan menggantikannya dengan aktiviti yang merangsang pemikiran sebenar.

3. Jarang melatih otak

Seperti otot badan yang akan lemah jika tidak digunakan, otak juga akan kehilangan ketajamannya apabila tidak dilatih.

Apabila seseorang menjalani rutin yang sama setiap hari tanpa mencabar pemikiran, sel-sel otak menjadi pasif dan sambungan neuron semakin berkurangan.

Dalam jangka masa yang panjang, keadaan ini boleh menjejaskan keupayaan belajar, menyimpan maklumat dan membuat keputusan yang bijak.

Latihan mental tidak perlu rumit. Aktiviti kecil seperti menyelesaikan teka silang kata, membaca topik baharu, menulis catatan harian, berbincang tentang isu semasa atau belajar kemahiran baru boleh membantu merangsang otak.

Ia juga membantu meningkatkan daya tahan otak terhadap tekanan dan perubahan. Makin kerap otak digunakan secara aktif, makin kuat dan fleksibellah fungsinya.

Jangan biarkan otak menjadi malas hanya kerana kita terlalu selesa dengan rutin harian.

4. Mengasingkan diri dan kurang interaksi sosial

Selain itu, otak manusia dicipta untuk bersosial. Ia berkembang pesat apabila kita berhubung, berbual dan berkongsi emosi dengan orang lain.

Apabila seseorang terlalu lama menyendiri dan kurang berinteraksi, bahagian otak yang mengawal emosi, empati dan kemahiran sosial akan menjadi semakin kurang aktif.

Kajian juga menunjukkan bahawa kesunyian kronik boleh memberi kesan sama seperti tekanan emosi berpanjangan bahkan boleh meningkatkan risiko kemurungan dan penurunan kognitif pada usia muda.

Interaksi sosial bukan sekadar mengisi masa lapang tetapi ia sebenarnya senaman semula jadi untuk otak. Setiap perbualan melibatkan proses berfikir, mendengar, memahami dan memberi respons.

Semua ini merangsang aktiviti neuron. Jadi, walaupun anda seorang yang introvert, luangkan masa untuk berhubung dengan sekurang-kurangnya satu atau dua orang setiap hari sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

5. Menahan emosi atau tidak meluahkan perasaan

Ramai yang menganggap tabiat menyimpan perasaan dalam diam adalah cara untuk menjadi kuat padahal ia sebenarnya boleh menjadi racun senyap yang akan merosakkan otak.

Menahan emosi secara berterusan membuatkan sistem limbik iaitu bahagian otak yang mengawal stres dan emosi sentiasa berada dalam mod berjaga-jaga.

Ini menyebabkan paras hormon stress seperti kortisol meningkat dan memberi tekanan kepada keseluruhan sistem saraf.

Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh mencetuskan masalah tidur, hilang tumpuan, cepat letih dan sukar mengawal reaksi terhadap tekanan kecil.

Meluahkan perasaan bukan tanda lemah tetapi cara semula jadi untuk melegakan beban mental. Ia boleh dilakukan melalui pelbagai cara.

Anda boleh berkongsi cerita dengan rakan dipercayai, menulis jurnal, berdoa, bersenam atau melakukan aktiviti seni. Emosi yang sihat dapat membantu otak bekerja lebih cekap, tenang dan seimbang.

6. Terlalu lama dalam ruang tertutup dan kurang cahaya semula jadi

Di samping itu juga, cahaya matahari bukan sekadar memberi kehangatan. Ia memainkan peranan besar dalam menjaga kesihatan otak.

Sinar semula jadi membantu badan menghasilkan serotonin dan melatonin iaitu dua bahan kimia penting yang mengawal mood, tenaga dan kitaran tidur.

Apabila seseorang terlalu lama terperangkap dalam ruang tertutup tanpa cahaya semula jadi, tahap serotonin boleh menurun dan menyebabkan mood merosot dan otak cepat letih.

Lebih mengejutkan, kekurangan cahaya dan udara segar juga boleh mengganggu kadar oksigen dalam darah. Keadaan ini akan menjadikan otak kurang bertenaga dan sukar fokus.

Sebab itu penting untuk membuka tingkap, berjalan di luar atau sekurang-kurangnya duduk di tempat yang menerima pancaran matahari semulajadi setiap hari.

Ia mungkin nampak kecil tetapi impaknya terhadap kesihatan otak sangat besar.

7. Kurang minum air

Ramai yang tidak menyedari bahawa otak sebenarnya sangat sensitif terhadap tahap hidrasi tubuh. Ia terdiri daripada lebih 70% air dan kekurangan air walaupun sedikit boleh menjejaskan prestasi mental.

Apabila badan kekurangan air, aliran darah ke otak menurun dan akan menyebabkan sel otak tidak dapat menerima bekalan oksigen dan nutrien yang secukupnya.

Ini akan mengakibatkan simptom seperti pening kepala, cepat lupa, lesu dan sukar memberi tumpuan.

Lebih membimbangkan, ramai hanya minum apabila terasa sangat dahaga sedangkan itu sudah petanda tubuh berada dalam keadaan dehidrasi.

Menjadikan minum air sebagai rutin kecil tetapi konsisten sepanjang hari dapat membantu otak berfungsi dengan optimum.

Air bukan sekadar menyegarkan tubuh tetapi juga sebagai minyak pelincir yang memastikan otak bekerja dengan lancar.

Dalam kehidupan moden yang serba sibuk, kita sering mengabaikan tabiat kecil yang dianggap tidak penting. Tetapi hakikatnya, inilah tabiat-tabiat kecil yang perlahan-lahan membentuk kesihatan otak kita.

Tabiat seperti ini tidak akan merosakkan otak kita dalam sehari dua tetapi dalam tempoh yang panjang, kesannya boleh menjadi besar.

Keadaan ini akan menjadikan otak lesu, cepat lupa, mudah tertekan dan hilang ketajaman berfikir. Menjaga kesihatan otak bukan hanya untuk mengelak penyakit tetapi untuk memastikan kita dapat terus menikmati hidup dengan minda yang tajam, bertenaga dan stabil.

BACA : 8 Cara Boleh Bantu Tubuh Rawat Influenza & Kembali Cergas

Sumber :

webmd,

ochsner