
Tabiat Minum Kopi, Makanan Bergoreng Didakwa Punca Penggondolan Hutan
Umum diketahui, musibah banjir yang melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat telah meninggalkan kesan tragis.
Menurut pihak berkuasa tempatan, hujan berterusan yang bermula pada 26 November lalu menyebabkan air naik mendadak sehingga mencecah lebih 3.5 meter dalam tempoh 72 jam, menyebabkan ratusan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda,
Beberapa jambatan utama runtuh, jalan terputus, rangkaian elektrik rosak dan sistem bekalan air bersih lumpuh.
Selain itu, serpihan kayu balak kelihatan berselerak selepas dihanyutkan arus banjir dan tanah runtuh di wilayah Sumatera Utara.
Punca utama pelbagai krisis alam sekitar
Kenyataan bekas Ketua Pejabat Komunikasi Presiden Indonesia, Hasan Nasbi telah menjadi perhatian serta perdebatan meluas dalam kalangan masyarakat apabila mengaitkan tabiat minum kopi dan pengambilan makanan bergoreng dengan penggondolan hutan.
Aceh Tribun News melaporkan beliau menyuarakan pandangan itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube peribadinya pada Sabtu lalu.
Dalam rakaman berkenaan, Hasan mengulas naratif yang sering meletakkan penebangan hutan sebagai punca utama kepada pelbagai krisis alam sekitar.
Menurut Hasan, isu penggondolan hutan tidak boleh dilihat secara hitam putih.
Beliau berpendapat sebahagian kawasan hutan berubah fungsi menjadi ladang kopi atau ladang kelapa sawit sejajar dengan permintaan tinggi masyarakat terhadap kopi dan makanan bergoreng.
“Selagi kita masih suka minum kopi, ada hutan yang berubah jadi ladang kopi. Kita makan makanan bergoreng, ada hutan yang berubah menjadi ladang sawit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh penggunaan cawan kopi berasaskan logam, dengan menyatakan bahan mentah logam diperoleh daripada aktiviti perlombongan yang juga memberi kesan kepada alam sekitar.
Sumber: Aceh Tribun News