
Solat Jumaat hari ini merupakan Solat Jumaat ‘rapat saf’ yang pertama kali diadakan di seluruh negara selepas Perdana Menteri mengumumkan berkaitan fasa ‘peralihan ke endemik’ yang bermula pada 1 April.
Menerusi perkongsian ringkas Bernama menunjukkan ‘kemeriahan’ suasana orang ramai menunaikan solat Jumaat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Solat Jumaat ini diimamkan oleh Ustaz Rodhi Abd Ghani.
Sementara di Perak, sebahagian jemaah menunaikan solat Jumaat secara rapat saf di Masjid Sultan Azlan Shah.
Garis panduan pelaksanaan SOP aktiviti masjid dan surau bagi negeri Sabah pula pada fasa endemik membenarkan jemaah merapatkan sejadah tanpa bersentuhan ketika menunaikan solat.






Susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak dua tahun lalu, solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara telah ditangguhkan dan kemudian ditetapkan penjarakan fizikal bermula Mac 2020 hinggalah semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa aktiviti keagamaan tidak lagi perlu melaksanakan penjarakan fizikal termasuk solat berjemaah di masjid atau surau bermula 1 April.
Jelasnya, ia merupakan salah satu daripada perubahan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun ketika itu, beliau memaklumkan bahawa ketetapan berkenaan bergantung kepada keputusan Majlis Agama negeri masing-masing memandangkan hal ehwal agama Islam terletak dibawah bidang kuasa Negeri.
Sumber: Bernama