Kementerian Industri Utama menyeru syarikat pengeluar produk berasaskan sawit supaya mempamerkan logo “Sayangi Sawitku” atau “Love My Palm Oil” pada produk masing-masing, sebagai tanda sokongan terhadap Kempen Sayangi Sawitku.
Menterinya, Teresa Kok Suh Sim berkata langkah itu juga bertujuan bagi mempromosikan penggunaan minyak sawit dalam penghasilan pelbagai produk makanan dan keperluan harian.
‘’Kita mahu syarikat yang mengeluarkan produk berasaskan sawit ini mempamerkan logo Sayangi Sawitku (pada setiap produk) sebab ada rakyat yang tidak mengetahui bahawa sawit ini penggunaannya sangat meluas dan serba boleh, daripada pembuatan pelbagai produk makanan seperti minyak masak, coklat dan aiskrim atau produk penjagaan diri seperti sabun dan lipstik sehingga kepada bahan api bagi kenderaan.
‘’Setakat ini, FGV Holdings Berhad telah mengambil inisiatif mempromosikan kempen dengan mempamerkan logo Sayangi Sawitku menerusi jenama produk keluaran mereka iaitu Saji selain pada kenderaan pembawa minyak masak milik FGV,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Sayangi Sawitku oleh FGV Holdings Berhad di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn Bhd, Shammim Azad Kamruzaman.
Kempen Sayangi Sawitku yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Mac lepas bertujuan untuk mendidik rakyat mengenai kelebihan serta sumbangan komiditi itu kepada negara.
Mengulas lanjut, Kok turut berharap syarikat FGV dan pemain industri berkaitan akan turun padang dengan menjadi jurucakap mewakili kerajaan bagi mempromosikan kelebihan serta manfaat minyak sawit kepada rakyat.
Beliau berkata dengan cara itu rakyat akan yakin untuk terus menggunakan produk yang diperbuat daripada minyak sawit sekaligus, meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit tempatan.
‘’Ini termasuklah mewujudkan keyakinan rakyat untuk mengguna pakai biodiesel B10 (adunan 10 peratus biodiesel sawit dan 90 peratus diesel petroleum) sebagai bahan api bagi sektor pengangkutan.
‘’Rakyat tidak perlu bimbang kerana setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan negatif kesan dari penggunaan biodiesel ini,’’ katanya.
Sementara itu, Shammim Azad berkata sempena bulan Ramadan, pihaknya melancarkan kempen ‘Infak Ramadan Saji’ di mana dengan setiap pembelian minyak masak 5 kg, 50 sen daripada itu akan dikumpulkan dan didermakan kepada badan kebajikan tempatan dan peneroka Felda.
Beliau berkata menerusi kempen itu, pihaknya menyasarkan untuk mengumpulkan dana berjumlah RM300,000 bagi diagihkan kepada kumpulan sasar berkenaan.
Sumber : BERNAMA