
Sebuah syarikat pengeluar tilam di UK, Crafted Beds menawarkan kerja menarik, iaitu mencari individu yang ‘rajin’ untuk bermalasan dan menonton Netflix seharian di atas tilam.
Pengurus pemasarannya, Brian Dillon berkata, mereka bersedia membayar gaji sebanyak RM136,000 seminggu untuk kerja mudah tersebut, bertujuan bagi menguji sejauh mana tahap keselesaan tilam buatan mereka.
“Walaupun kami mendapat ulasan yang menarik daripada pembeli kami yang ada, kami nak memastikan (kesukaan orang terhadap tilam) ini diteruskan.
“Dan membayar individu penguji (tester) tilam adalah sebahagian daripada strategi ini,” katanya, memetik laporan Mirror.
Difahamkan, pekerja tersebut hanya perlu memperuntukkan masa selama 37.5 jam sahaja dalam seminggu untuk menguji tahap keselesaan tilam tersebut.
Malah menariknya, mereka juga tidak perlu untuk hadir ke pejabat, sebaliknya tilam itu akan dihantar terus oleh syarikat ke rumah mereka.
Meskipun nampak mudah, bagaimanapun mereka yang ingin memohon kerja tersebut perlu memiliki kemahiran menulis dan komunikasi yang tinggi.
Hal ini kerana setiap hasil ujian tilam yang diuji pada setiap minggu perlu ditulis dalam laporan dan menghantarnya kembali kepada syarikat untuk penilaian.
Difahamkan, tawaran kerja tersebut hanya dikhususkan buat penduduk di sekitar UK.
Sumber: Mirror