
Syahid Seorang Ibu, Ain Farhana ‘Pergi’ Selepas Lahirkan Zuriat Kedua
Kelahiran anak merupakan satu momen yang paling istimewa bagi ibu bapa kerana ia merupakan tanda ikatan kasih yang dibina. Namun, tidak semua orang menghadapinya dengan penuh kegembiraan.
Ketetapan Ilahi, seorang lelaki terpaksa menelan hakikat kehilangan isteri tercinta selepas melahirkan anak kedua mereka.
Menerusi kiriman yang dikongsikan oleh Mr Wan Cai Official, arwah isteri yang dikenali sebagai Ain Farhana, 27, meninggal dunia kerana pendarahan dalam kepala.
Video-video yang dimuat naik Mr Wan Cai menunjukkan lelaki terbabit berada di samping arwah isterinya ketika pengurusan jenazah.
“Tatkala seorang ibu menghembus nafas terakhirnya demi menghadirkan zuriat ke dunia, syahidnya di sisi Allah.
“Dan seorang suami yang tabah menerima takdir itu, memikul cinta dan amanahnya ke syurga.
“Sesungguhnya, cinta yang paling agung adalah yang tetap hidup walau jasad telah tiada kerana ia bersemi dalam reda, sabar, dan keimanan kepada Allah yang Maha Pengasih,” kata Mr Wan Cai.
Detik-detik sayu dapat dilihat apabila lelaki terbabit mendoakan dan mencium arwah isterinya buat kali terakhir.
Dalam pada itu, suasana juga bertukar hiba apabila anak pertama mereka yang berusia dua tahun berada di samping jenazah.
“Anak berusia dua tahun, yang belum pun sempat mengerti, apa itu kehilangan.
“Wajah ibu tidak lagi tersenyum, tiada lagi suara menenangkan tangis, tiada lagi pelukan menahan dunia kerana kasih itu telah pergi dibawa angin ke negeri abadi,” kata Wan Cai.
Sumber: Mr Wan Cai Official