
Suspek utama pembunuhan pegawai tertinggi penjara wilayah telah ditahan pihak polis setelah mengaku bersalah atas kejadian itu di Kashmir, lapor Al-Jazeera.
Pada malam Isnin, mayat mangsa yang berusia 57 tahun itu telah ditemui dalam keadaan mencurigakan di rumah rakannya di bandar Jammu di bahagian selatan Kashmir.
Polis berkata suspek utama dalam kes itu merupakan pembantu rumah mangsa dan pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap tertuduh.
Namun Barisan Anti-Fasis Rakyat (PAFF) yang merupakan kumpulan bersenjata di pangkalan Pakistan telah mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu.
“Skuad khas kami telah menjalankan operasi berasaskan perisikan di Udaiwala di Jammu.
“Ini merupakan permulaan bagi operasi berprofil tinggi itu,” kata polis mengenai kes itu.
Bagaimanapun, polis menafikan penglibatan pengganas di sebalik pembunuhan itu.
“Tiada tindakan keganasan yang jelas seperti dalam siasatan awal tetapi siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk menolak sebarang kemungkinan,” katanya lagi.
Selain itu, polis berkata senjata yang digunakan untuk menggelar leher mangsa turut dirampas bersama beberapa dokumen yang menunjukkan pembantu rumah itu mungkin mengalami kesihatan mental.
“Siasatan awal mendedahkan pembantu rumah agak agresif dalam tingkah lakunya dan juga mengalami penyakit kemurungan,” ujar polis memetik Al-Jazeera.
Pembantu rumah itu menjadi suspek utama dalam kes ini kerana terdapat beberapa rakaman kamera keselamatan menunjukan suspek telah melariakn diri dari rumah sejurus selepas Lohia dibunuh.
Sejak akhir tahun 1980-an, pemberontak di Kashmir telah melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap kerajaan India dengan tujuan supaya Kashmir digabungkan dengan Pakistan atau mewujudkan sebuah negara yang merdeka.
Pembunuhan Lohia merupakan sasaran pertama pegawai berpangkat tinggi dalam beberapa tahun ekoran pemberontak sering menyasarkan pegawai kerajaan India.
Difahamkan juga, Lohia dilantik untuk mengawal penjara di Kashmir dan pembantu rumahnya yang berasal dari daerah Ramban telah mula bekerja untuknya sejak enam bulan lalu.
Sumber: Al-Jazeera