Seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti mengedar dadah dilaporkan maut dalam serbuan pihak polis di sebuah flat, petang semalam.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, suspek dikatakan bertindak agresif semasa diserbu Bahagian Siasatan jenayah Narkotik, sekitar jam lima petang. Suspek dilaporkan cuba menyerang pasukan serbuan dengan menggunakan sabit bagi mengelak ditangkap.
Memetik laporan Sinar Harian, suspek yang merupakan lelaki berusia 45 tahun berjaya diamankan. 51.24 gram dadah jenis methaphetamine dan 1.97 gram heroin ditemukan di tempat kejadian.
“Pihak serbuan menjalankan pemeriksaan di dalam rumah setelah suspek berjaya ditangkap.
“Namun dalam waktu bersamaan, suspek tiba-tiba rebah dan tak sedarkan diri,” kata Azmi, memetik laporan Sinar Harian.
Tambahnya, menyedari hal tersebut, pihak polis segera menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan. Namun suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan.
Jelas Azmi, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat daripada Hospital Kuala Lumpur. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kematian suspek diklasifikasikan sebagai kematian mengejut hingga laporan bedah siasat diterima.
Sumber: Sinar Harian