
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian cubaan mencuri sebuah kereta jenis Honda City milik seorang mangsa banjir seperti yang tular baru-baru ini, memetik Sinar Harian.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di dalam kawasan bencana di Jalan Persiaran Perusahaan, Seksyen 23 di Shah Alam sebelum dimuatnaik dan ditularkan oleh pemilik akaun Instagram @wangi_by_cinta pada 19 Disember lalu.
Difahamkan, individu tersebut mendakwa suspek ketika itu telah mencabut nombor pendaftaran kereta dan turut mengangkut kenderaan tersebut ke atas lori tunda sebelum tindakannya disedari penduduk tempatan.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, pemilik kenderaan tersebut meletakkan keretanya di tepi jalan dalam keadaan berkunci pada 18 Disember lalu.
“Namun pada 20 Disember (Isnin) sekitar jam 8.45 malam mangsa mendapati keretanya telah berada di atas lori tunda dengan nombor pendaftaran WCX**** atas nama Syarikat Sparks Motors Rescue Empire.
“Lori tersebut dipandu seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali dan menyuruh mangsa menunda kereta milik isteri mangsa itu ke bengkel,” katanya dalam kenyataan pada Khamis, memetik Sinar Harian.
Bagaimanapun selepas diperiksa, mangsa mendapati suspek telah mencabut bateri kereta, mematahkan nombor pendaftaran kenderaan bahagian depan dan belakang selain pelekat cukai jalan turut juga hilang.
Jelas Arjunaidi, justeru itu mangsa telah tampil membuat laporan pada Rabu selepas dihubungi pihak polis susulan hantarannya yang tular di media sosial.
“Tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun iaitu pemandu lori tunda tersebut dan permohonan reman akan dibuat hari ini manakala siasatan terhadap suspek sedang dijalankan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian