
Suspek Bunuh Didakwa Cakap Besar, Mengaku Terlepas Sebab “Family” Kaya & Berpengaruh
Seorang remaja 18 tahun didakwa bercakap besar di akaun media sosial miliknya bahawa dia telah terlepas atas tuduhan membunuh seorang budak lelaki berusia 14 tahun kerana berasal daripada keluarga kaya dan berpengaruh, lapor Thaiger.
Dakwaan remaja tersebut telah menimbulkan kemarahan kepada pengguna media sosial di Thailand. Remaja berusia 18 tahun itu didakwa telah membunuh seorang remaja lelaki lain yang berusia 14 tahun dan telah bercakap besar mengenainya di akaun Twitter miliknya.
Pembunuhan itu dikatakan berlaku pada 3 November lalu pada jam 12.20 tengah hari di rumah mangsa yang terletak di kampung Saen Sook daerah Meung wilayah tengah Rayong.
Keluarga mangsa telah memaklumkan kepada wartawan Channel 3 bahawa suspek dan seorang lagi remaja telah melawat rumah mangsa untuk bercakap di luar rumahnya.
Mangsa enggan keluar dan bercakap dengan suspek. Tindakan mangsa itu telah membuatkan suspek marah lalu memasuki rumahnya dan mula menyerangnya menggunakan wayar elektrik yang putus dan mencekik mangsa.
Ketika keluarga mangsa cuba meleraikan kedua-duanya, mangsa telah terjatuh ke lantai sebelum diserang sawan.
Mangsa telah dihantar ke hospital serta-merta untuk rawatan, namun selepas empat hari menjalani rawatan, mangsa dilaporkan meninggal dunia. Hospital merekodkan punca kematian mangsa sebagai subdural akut.
Suspek telah ditahan polis selepas kejadian tersebut tetapi dia kemudian dibebaskan selepas keluarganya membayar ikat jamin sebanyak RM 2,500.
Warga Thailand berang dengan tindakan suspek yang membuat hantaran di Facebooknya dan tidak menunjukkan kekesalan.
Suspek juga dikatakan tidak kisah dengan undang-undang. Suspek juga sempat berkongsi gambar dan video dirinya yang menghadiri sebuah parti bersama rakan-rakannya selepas diikat jamin.
Satu rakaman suara suspek yang mengakui dia adalah seorang pengedar dadah juga bertebaran di media sosial Thai. Perkongsian itu dilakukan oleh orang yang tidak dikenali.
Dalam rakaman itu juga suspek berkata bahawa keluarganya kaya dan akan sentiasa menyokong tindakannya dalam segala hal. Suspek juga sempat menambah bahawa dia hanya akan memberikan sebanyak RM 250 kepada keluarga mangsa.
Laman berita Khaosod melaporkan bahawa keluarga suspek tidak pernah menjamin anaknya itu, sambil menambah bahawa anaknya itu tidak pernah memuat naik hantaran di media sosialnya kerana berada di dalam tahanan polis.
Keluarga itu juga menafikan telah masuk campur dalam proses kerja polis. Keputusan pembebasan suspek adalah atas keputusan mahkamah.
Undang-undang di Thailand memperuntukkan Seksyen 290, kepada sesiapa yang menyebabkan kematian kepada orang lain dengan mendatangkan kecederaan pada badan orang tersebut tanpa niat untuk menyebabkan kematian. Maka orang tersebut boleh dikenakan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun.
Summber: The Thaiger