Sungai Kering Kerana Kemarau, Kem Tentera Roman Muncul Sepenuhnya Selepas 2,000 Tahun Tenggelam
Cuaca kemarau yang melanda banyak negara Eropah hingga menyebabkan beberapa sungai utama mengering terus mendedahkan beberapa peninggalan sejarah. Terbaru, sebuah struktur perkampungan lama kem tentera Empayar Roman muncul sepenuhnya selepas paras air di Sungai Lima, Sepanyol menyusut.
Menerusi laporan Mirror UK, struktur berkenaan yang dipercayai berusia sekitar 2,000 tahun itu sebelum ini ditemui dalam keadaan masih terpelihara.
Menurut pakar sejarah, empayar berkenaan membina kem tentera itu, Aquis Querquennis, di kawasan tebing sungai berkenaan sekitar tahun 75 AD. Bagaimapun, kompleks berkenaan ditinggalkan sebelum ia ditenggelami air setahun kemudian.
Beberapa keping gambar dari udara yang diambil menggunakan drone mendedahkan pelan kem berkenaan dengan rekaan bangunan yang sangat tersusun. Antara kemudahan-kemudahan yang dipercayai turut dibina adalah hospital, kuil, kolam mandi selain berek tempat tinggal askar. Kem berkenaan dipercayai mampu memuatkan sekurang-kurangnya 600 orang tentera Roman.
Gambar: Mirror UKKem ini pertama kali ditemui sekitar tahun 1920, namun kerap kali tenggelam dalam paras air. Namun, dengan musim kemarau teruk melanda Eropah, ia muncul dan mendedahkan struktur secara sepenuhnya.
Pelbagai penemuan ini turut mengujakan komuniti sejarah yang tertanya-tanya apakah warisan dunia purba seterusnya yang bakal terdedah susulan kemarau teruk yang melanda kebanyakkan negara Eropah ketika ini.
Terdahulu, beberapa penemuan bersejarah turut dilaporkan di negara-negara antaranya sebuah jambatan purba, juga dari Empayar Roman, ditemui di Itali yang dipercayai dibina ketika pemerintahan Maharaja Nero.
Selain itu, di China, sebuah patung Bhudda dipercayai berusia lebih 800 tahun ditemui di sebatang sungai yang kian menyusut.
Manakala di Iraq, sebuah empangan yang mengering menyaksikan sebuah perkampungan kuno yang dianggarkan berusia lebih 3,400 turut ditemui. Perkampungan berkenaan dipercayai merupakan tinggalan daripada Empayar Mitanni yang pernah berdiri di bumi berkenaan.
BACA: Sungai-Sungai Dunia Semakin Kering, Banyak Tinggalan Kerajaan Purba Muncul Dari Dasar
Gambar: Mirro UK