sungai di selangor paras bahaya
Gambar: Kosmo

Sungai Di Selangor Dilapor Lepasi Paras Bahaya

Sofea

Sungai Di Selangor Dilapor Lepasi Paras Bahaya

Empat sungai di Selangor kini melepasi paras bahaya, amaran dan waspada setakat pukul 10 malam tadi, lapor Kosmo.

Maklumat itu dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi laman webnya sebentar tadi.

Menerusi laman web tersebut, dapat dilihat bahawa Sungai Jijang di Taman Desa Merpati (Sepang) mencatatkan bacaan 13.49 meter (m) melebihi paras bahaya.

Dalam pada itu, paras amaran pula direkodkan di Sungai Damansara di Kampung Melayu Subang (Petaling) dengan bacaan 17.30 m.

Manakala Sungai Buloh di Paya Jaras (Petaling) dan Sungai Langat di Bukit Changgang (Kuala Langat) masing-masing berada pada paras waspada dengan catatan bacaan 23.79 m dan 3.55 m.

Menurut Kosmo, keadaan sungai di sekitar Kuala Lumpur pula masih terkawal serta berada pada paras normal.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa banjir kilat telah berlaku di Taiping, Perak sehingga menyebabkan 10 orang penduduk dari kawasan perumahan di Taman Seri Kota berpindah ke sebuah dewan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran ribut petir di hampir semua negeri sehingga lewat malam ini.

Sumber: Kosmo