DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menitahkan agar jumlah ketetapan bilangan jemaah bagi Solat Jumaat dinaikkan berbanding kapasiti sebelum ini.
Laman Facebook Selangor Royal Office memaklumkan, kenaikan bilangan jemaah Solat Jumaat itu melibatkan masjid-masjid dan surau-surau dengan kebenaran Solat Jumaat di seluruh Selangor.
“Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (masjid negeri) akan boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.
“Masjid-masjid daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.
“Masjid-masjid institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah sementara masjid pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah,” maklum kenyataan tersebut hari ini.
Difahamkan, pertimbangan dan keputusan peningkatan jemaah tersebut diambil setelah Baginda Sultan Selangor meneliti data-data terbaharu penularan COVID-19 yang melaporkan penurunan statistik kematian harian di Selangor kepada satu digit setakat ini.
Dalam pada itu, meskipun kelonggaran itu diberikan, bagaimanapun Baginda Sultan Selangor secara tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius serta berhati-hati dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Baginda berharap agar semua rakyat jelata sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak COVID-19 ini. Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.
“Baginda tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif COVID-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Tegas Baginda, rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi “lockdown” seperti yang berlaku sebelum ini, yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan,” tambah kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, jumlah kematian akibat COVID-19 di Selangor setakat 27 Oktober baru-baru ini berjumlah 9,581 orang dan separuh daripadanya terdiri daripada bangsa Melayu yang beragama Islam.
Sumber: Selangor Royal Office