sultan selangor ampun sanusi
Kredit: Bernama

Sultan Selangor Berkenan Terima Permohonan Ampun Sanusi

Azizah Najib

Sultan Selangor Berkenan Terima Permohonan Ampun Sanusi

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah berkenan menerima permohonan ampun daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menerusi satu warkah yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor bertitah bahawa baginda menerima permohonan ampun itu di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

“Semoga Dato’ Seri berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera. Permohonan ampun dan maaf Dato’ Seri berkenaan kenyataan Dato’ Seri pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak, Selangor telah Beta pertimbangkan.

“Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Dato’ Seri di atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu. Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda juga telah menasihati Sanusi agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi.

Beliau juga dinasihatkan tidak menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam Negeri Selangor.

BACA: “Dengan Penuh Rasa Rendah Diri Patik Mohon Ampun Kepada Tuanku Sultan Selangor” – Sanusi

“Beta tidak mahu rakyat khususnya di Negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kasar dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.

“Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Dato’ Seri.

“Sebagai seorang pemimpin, Dato’ Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan,” titah baginda lagi.

Di akhir warkah, baginda berharap agar Sanusi terus berjaya dan dipermudahkan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Terdahulu, Sanusi sekali lagi membuat permohonan ampun kepada Sultan Selangor berikutan isu pada 11 Julai 2023.

“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di Negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan sepertimana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.

“Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor atas keterlanjuran kata-kata patik,” katanya.

Sumber: Selangor Royal Office