Gambar: Google

Suhu Menjunam, Beberapa Tempat Di Arab Saudi Dilapor Dilanda Salji Tebal

Sofea

Arab Saudi dilaporkan telah dilanda salji tebal yang menyelimuti bahagian bandar utara-barat Tabuk pada hari tahun baru.

Memetik laporan The National News, orang ramai dipercayai telah berpusu-pusu ke Jebel Al Lawz sejak Sabtu apabila salji mula turun di kebanyakan kawasan.

Keadaan cuaca yang melampau juga telah menyebabkan beberapa jalan menuju ke kawasan itu ditutup selepas beribu-ribu penduduk dan pelawat tiba untuk menikmati pemandangan.

Jebel Al Lawz ialah sebuah gunung di barat laut Arab Saudi berhampiran sempadan Jordan di wilayah Tabuk iaitu kira-kira 200 kilometer barat laut bandar Tabuk.

Sementara itu, salji juga mula melanda kawasan pergunungan Al Dhahr dan Alqan pada Ahad dengan suhu turun di bawah 0 darjah celcius.

Susulan itu, pihak Pertahanan Awam Arab Saudi menggesa pelawat dan penduduk Tabuk supaya berwaspada dalam keadaan jarak penglihatan yang rendah dan kemungkinan hujan lebat serta guruh dijangka berlarutan sehingga Isnin.

Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi berkata ribut petir disertai hujan lebat dan hujan batu itu dijangka berlaku di Mekah, Al Bahah, Riyadh, Al Qassim dan kawasan lain di kerajaan itu.

Bagaimanapun, salji yang melanda di kawasan itu sememangnya sudah menjadi kebiasaan. Pada November 2021, suhu di Tabuk juga dicatatkan sehingga kira-kira 7 Celcius, menyebabkan beberapa kawasan diselimuti salji tebal.

Sumber: The National News