Seorang wanita dilapor mengalami kecederaan yang teruk dan terpaksa menggugurkan bayinya setelah ditolak oleh suaminya sendiri dari tebing yang tinggi di Pha Taem National Park, Thailand.
Menerusi perbicaraan kes tersebut di mahkamah, wanita itu sedang hamil tiga bulan ketika kejadian yang berlaku pada 9 Jun 2019.
South China Morning Post melaporkan bahawa dia mengalami kecederaan yang teruk selepas terlanggar pokok dan terhentak di batu selepas ditolak oleh suaminya.
Dia terbaring penuh seksa selama setengah jam sebelum seorang pelancong menemukannya dan dia dikejarkan ke hospital tempatan.
Sebelum kejadian serangan itu, suaminya dipercayai telah mendesaknya untuk membayar hutang perjudiannya. Percubaan pembunuhan itu merupakan usaha terdesak untuk mendapatkan kekayaan.

Manakan tidak, wanita itu dipercayai mempunyai perniagaan sendiri di antara negara China dan Thailand sebelum mereka berdua berkahwin.
Wanita itu bernasib baik kerana dia masih lagi selamat tetapi sebanyak 17 tulangnya mengalami patah dan kini menjadi cacat.
Dia juga terpaksa menggugurkan bayinya yang belum lahir kerana dos ubat yang banyak yang perlu diambil selepas serangan itu dan menjalani pelbagai pembedahan.
“Saya menjalani pembedahan beberapa kali dan pemulihan yang tidak berkesudahan,” kata wanita itu.
Wanita berusia 33 tahun itu pulang ke Nanjing tiga minggu selepas serangan itu pada musim panas 2019.
“Saya telah sembuh secara mental, tetapi tidak secara fizikal. Terdapat jurang antara minda dan badan saya sekarang,” katanya lagi.
Mahkamah di wilayah Ubon Ratchathani menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada suaminya dan diperintahkan untuk membayar pampasan sebanyak 1.1 juta yuan pada bulan Mac tahun lalu. Dia telah mengemukan rayuan dan perbicaraan kedua sedang berlangsung.
Sumber: South China Morning Post