Suami isteri didakwa aniaya anak lelaki hingga cedera
KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) — Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak lelaki mereka berusia lapan tahun sehingga menyebabkan kecederaan, minggu lalu.
Tertuduh yang berumur 32 tahun, seorang buruh dan isterinya, penjual buah warga Indonesia, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak lelaki mereka telah dengan sengaja menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah rumah di Kampung Segambut Tengah, di sini, pada 23 Dis lalu.
Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ngoh Jess Lynn mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap suami manakala isterinya tidak ditawarkan jaminan kerana wanita itu merupakan seorang warga asing.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan itu dikurangkan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin manakala isterinya tidak dibenarkan diikat jamin dan 16 Jan depan ditetapkan untuk sebutan kes.
Sumber: BERNAMA